Pemain Mali meraikan kejayaan menewaskan Ghana pada suku akhir Piala Dunia B-17. FOTO AFP/FIFA
News 18

NAMA skuad bolasepak B-17 Mali meniti di bibir peminat bolasepak selepas mara ke separuh akhir Kejohanan Piala Dunia B-17 FIFA edisi 2017 di India.

Skuad Afrika Barat itu bakal cipta sejarah ke final kali kedua berturut turut andai menyingkirkan gergasi Eropah, Sepanyol pada perlawanan jam 8 malam ini (10.30 waktu Malaysia).

Satu lagi separuh akhir menemukan England bertembung dengan jaguh Amerika Selatan, Brazil.

Biarpun muncul kuasa bolasepak benua sejak beberapa dekad lalu namun ramai peminat yang bersorak menyokong mereka bertarung di India tidak pernah mendengar nama negara terbabit sebelum kejohanan bermula.

Mali sebuah negara miskin, tidak mempunyai lautan (landlocked) dan dilanda peperangan dengan penduduk seramai 18 juta yang menyamai daerah Delhi.

Negara terbabit kini melepasi keperitan cabaran mengukir nama dalam kalangan gergasi bolasepak benua Afrika.

Hampir separuh penduduk Mali berada di bawah paras kemiskinan antarabangsa dengan pendapatan harian sebanyak USD1.25 sehari (RM5.20).

Mali turut terbabit dalam konflik dalaman membabitkan pertelingkahan antara tentera kerajaan dan pemberontak Tuareg di bahagian utara negara itu pada Januari 2012.

Pemberontak menguasai hampir sepenuhnya bahagian utaran pada April tahun terbabit dan turut mengisytiharkan sebuah negeri baru diberi nama Azawad.

Peperangan berterusan beberapa bulan selepas itu menggabungkan tentera Mali dan Perancis yang berjaya mengambil semula kawasan utara pada awal 2013.

Biarpun berdepan masalah memberi tamparan hebat kepada ekonomi, bolasepak Mali berterusan mempamer peningkatan di padang saingan kompetitif.

Selepas mendapat Kemerdekaan daripada Perancis pada 1960, Mali membuat penampilan antarabangsa dengan kemenangan 4-3 ke atas Republik Afrika Tengah pada 13 April tahun yang sama.

Mali turut mara ke final Piala Negara Afrika (CAF) pada 1972 tetapi kecundang 3-2 kepada Congo.

Selepas merudum seketika, mereka kembali ke saingan kejohanan itu semula pada 1994 dengan mara ke separuh akhir.

Mali beraksi pada empat terakhir Piala Negara Afrika pada 2002, 2004 dan 2012.

Skuad B-23 layak beraksi ke Sukan Olimpik 2004 di Athens dengan mara ke suku akhir tetapi tewas kepada Itali.

Sekalipun Mali masih belum layak ke Piala Dunia untuk kategori senior, negara itu menyerlah pada peringkat umur remaja.

Mereka menjulang Piala Negara Afrika B-17 pada 2015 dan 2017 Sekaligus muncul negara pertama meraih gelaran dua kali berturut turut pada kejohanan itu.

Mali mara ke final 1997 tetapi kecundang 1-0 kepada Mesir.

Negara itu membuat penampilan tiga kali pada Piala Dunia B-17 dan muncul naib juara tewas kepada Nigeria dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2017 @ 5:46 PM