BILIC (kiri) memberi arahan kepada pemainnya ketika menentang Spurs. -Foto Reuters
AFP

LONDON: Masa depan pengurus West Ham United, Slaven Bilic menjadi subjek spekulasi selepas kekalahan 3-0 kepada Brighton dalam saingan Liga Perdana Inggeris, tetapi diberi talian hayat selepas pasukannya bangkit membenam Tottenham Hotspur 3-2 dalam aksi Piala Liga, awal pagi tadi.

Ketinggalan 2-0 menuju rehat, The Hammers menampilkan kebangkitan luar biasa untuk menempah slot ke suku akhir.

“Motivasi pemain begitu rendah di separuh masa tetapi tidaklah serendah ketika tewas kepada Brighton. Kami jarang sekali menyelinap masuk ke dalam kawasan Spurs dan di bahagian ketiga padang,” kata Bilic.

“Tetapi selepas bercakap mengenai apa yang perlu dilakukan apabila mereka dan kami memegang bola, pemain memberi reaksi balas yang baik dengan menjaringkan tiga gol ke atas lawan yang belum pernah bolos.”

Bilic bagaimanapun mengenepikan pendapat bahawa pemain beraksi untuknya.

“Saya sentiasa tenang dan gembira apabila kami menang dengan cara sebegini. Permainan pasukan begitu positif dan pemain juga membuktikan mereka liat untuk ditewaskan,” katanya.

Andre Ayew muncul penyelamat apabila kembali memastikan West Ham mengikat aksi 2-2 sebelum pertahanan Angelo Ogbanna menjaringkan gol tandukan kemenangan buat pasukan pelawat.

Dua jaringan Spurs pula dihasilkan oleh Moussa Sissoko dan Dele Alli.

Selepas melihat persembahan memberangsangkan daripada pemain yang tidak berada dalam kesebelasan utama, Bilic harus pening kepala untuk memilih barisan pemain berdepan Crystal Palace, Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 11:19 AM