WENDY boleh membuat permohonan pendengaran kesnya. FOTO/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Aida Adilah Mat


PINGAT emas yang diraih penerjun negara Wendy Ng pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) berkemungkinan besar akan ditarik semula selepas dia didapati positif ujian doping.

Namun ia hanya akan dilakukan selepas semua proses selesai.

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Low Beng Choo berkata, terdapat beberapa peringkat lagi yang perlu dilalui selepas keputusan sampel B diperoleh.

Antaranya atlet diberi peluang untuk membuat permohonan pendengaran kes ataupun mengakui melakukan kesalahan dan menerima saja hukuman yang dijatuhkan.

“Saya dimaklumkan atlet berkenaan memohon untuk pendengaran kes.

“Atlet akan diberi peluang untuk membela nasib dan menjelaskan apa yang berlaku,” katanya.

Namun sama ada pingat akan ditarik semula atau tidak hanya akan diputuskan oleh Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) selepas sesi pendengaran selesai.

Manakala bagi hukuman penggantungan ia dibawah tanggungjawab badan induk sukan berkenaan iaitu Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) mengikut peraturan Agensi Anti Doping Dunia (WADA).

Wendy didapati positif dengan bahan terlarang sibutramine selepas diuji pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) Ogos lalu.

Sibutramine adalah bahan terlarang yang disenaraikan di bawah kategori S6 oleh Kod WADA.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 9:28 PM