KELINCAHAN Cavani sukar dikekang Nice. FOTO/AFP
AFP

PARIS: Neymar hanya melihat dari tempat duduk penonton kehebatan Edinson Cavani yang menyumbat dua gol sewaktu Paris Saint-German (PSG) mengatasi Nice 3-0, awal pagi tadi sekali gus membolehkan skuad kendalian Unai Emery terus selesa tujuh mata di puncak Ligue 1.

Dua jaringan babak pertama Cavani, hasil umpanan Angel Di Maria, membolehkan PGS meraih kemenangan kesembilan musim ini.

CAVANI ketika menyumbat gol kedua PSG. FOTO/AFP

Ia aksi sesi pemanas badan yang baik menjelang pertemuan dengan Anderlecht, Rabu ini yang menawarkan peluang buat mereka mengesahkan tempat ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Kemenangan itu turut memadamkan memori buruk terikat 2-2 ketika menentang musuh tradisi, Marseille minggu lalu.

NEYMAR (tengah) hanya menonton aksi PSG. FOTO/AFP

Neymar gagal beraksi buat kali kedua sejak melengkapkan perpindahan termahal dunia kerana bintang Brazil itu dikenakan hukuman penggantungan selepas dibuang padang dalam aksi panas di Marseille.

“Setiap perlawanan berbeza. Menentang Marseille, ia lebih rumit kerana permukaan padang yang berbeza dan mungkin kami mampu beraksi dengan lebih baik,” kata Cavani.

“Malam ini, kami memperoleh gol awal di separuh masa pertama dan ia menyebabkan kami beraksi dengan lebih tenang sepanjang perlawanan.”

Di Maria menyinar sebagai pengganti Neymar dalam penampilan keduanya sejak Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2017 @ 11:44 AM