SPURS berkunjung ke Old Trafford hari ini.

LONDON: Tottenham Hotspur akan berkunjung ke Manchester United bagi aksi tumpuan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford jam 7.30 malam ini.

Berikut lima sebab mengapa skuad kendalian Mauricio Pochettino mampu membenam anak buah Jose Mourinho meskipun tanpa kehadiran penyerang sensasi Harry Kane yang cedera:

1. Rekod cemerlang Son Heung-Min apabila ketiadaan Kane

Pada musim lalu ketika Kane terlepas beberapa aksi, Son membuktikan dirinya mampu menggantikan tugas penyerang sensasi itu yang cedera di pertengahan musim dan Pochettino tidak menolak fakta betapa pemain Korea Selatan itu mampu menggalas tugas berkenaan.

2. Kestabilan di bahagian pertahanan

Spurs memiliki kombinasi pertahanan tengah yang mantap, Jan Vertonghen dan Toby Alderweireld, malah dengan persefahaman yang terbina sejak dua musim lalu menjadikan mereka kini antara gandingan pertahanan paling sempurna di EPL dan mereka hanya melepaskan enam gol daripada sembilan perlawanan liga setakat ini.

3. Hantaran lintang yang berbahaya

Sekiranya Pochettino menyenaraikan penyerang tinggi lampai Fernando Llorente, Spurs dijangka mengamalkan corak permainan hantaran lintang terutamanya menerusi pertahanan kanan, Kevin Trippier yang sudah mengumpan empat jaringan setakat ini.

4. Rekod kebal di tempat lawan

Spurs memiliki rekod sempurna di tempat lawan musim ini apabila menang ke semua empat perlawanan di tempat lawan, malah mereka memiliki purata menjaringkan tiga gol bagi setiap aksi di gelanggang lawan.

5. Rekod pertemuan terakhir

Spurs menang dua daripada tiga pertemuan terakhir antara kedua-dua kelab ini dengan yang terbaru pada penghujung musim lalu apabila menewaskan Red Devils 2-1 hasil jaringan Victor Wanyama dan Kane.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2017 @ 12:24 PM