PEMAIN Melaka United, Muhammad Fauzi Roslan (kanan) diasak pemain Kelantan, Mohamad Azwan Mohd Aripin (kiri). FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Nazri Abu Bakar


TIGA gol lewat Kelantan menyelamatkan skuad itu daripada terjerumus ke Liga Perdana selepas menang 3-1 ke atas Melaka United pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam tadi.

Kelantan bermula garang dengan mencipta percubaan menarik pada minit ke-11 menerusi Norfarhan Muhammad namun sekadar tinggi melepasi palang gol Melaka.

Bertekad meraih kemenangan untuk kekal di Liga Super, The Red Warriors melakukan asakan demi asakan ke kubu Hang Tuah namun beberapa percubaan termasuk menerusi Azwan Arifin pada minit ke-20 tinggi melepasi palang gol tuan rumah.

Penguasaan penuh Kelantan bagaimanapun dicuri tuan rumah yang membuka tirai jaringan pada minit ke-30 menerusi tandukan Nicholas Swirad selepas menerima hantaran Felipe de Souza.

Kelantan akhirnya berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-74 menerusi tandukan Abou Bakar Al Mel dan diikuti gol kedua (m-81) dan ketiga (m-87) menerusi pemain gantian Alessandro Celin, cukup untuk skuad itu kekal di pentas Liga Super 2018.

Kebangkitan minit-minit akhir itu penuh dramatik dan mendebarkan buat kira-kira 3,000 penyokong pelawat yang mengharapkan kemenangan berpihak kepada mereka sekali gus relevan untuk terus bersaing di Liga Super musim depan.

Keputusan perlawanan Liga Super

• Kedah 0-0 Johor DT

• Sarawak 0-0 T-Team

• Melaka United 1-3 Kelantan

• Pahang 1-1 Perak

• Pulau Pinang 1-3 Selangor

• PKNS 2-4 Felda

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2017 @ 11:51 PM