PEMAIN Pahang, Sumareh Mohamadou (tengah) dikawal pemain Perak, Nazirul Naim Che Hashim (kanan). FOTO Muhd Asyraf Sawal


PAHANG gagal mengotakan janji untuk mencatat kemenangan pada perlawanan terakhir kempen Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan apabila terikat 1-1 dengan Perak, malam tadi.

Namun, keputusan itu sama sekali tidak menggugat kedudukan kedua liga yang diraih skuad Tok Gajah dengan menamatkan saingan liga musim ini dengan 40 mata.

Pada perlawanan itu,tuan rumah terpaksa menunggu sehingga minit ke-23 untuk merobek gawang The Bos Gaurus menerusi jaringan Christie Jayaseelan selepas menerima hantaran daripada Mohamadou Sumareh.

Bermain tanpa sebarang tekanan, kedua-dua pasukan tidak terlalu banyak melakukan corak serangan berbahaya terutamanya jentera The Bos Gaurus yang dilihat gagal untuk menguji pertahanan tuan rumah sehingga tamat aksi babak pertama.

Bersambung di babak kedua, Pahang menggandakan asakan ke kubu Perak namun The Bos Gaurus tampak mampu memperkemaskan corak permainan dan mula melancar serangan dalam usaha mencari gol penyamaan.

Pada minit ke-78, kapten Perak, Nasir Baharuddin menyamakan kedudukan 1-1 selepas menewaskan penjaga gol tuan rumah, Helmi Eliza Elias dan kedua-dua pasukan jelas akur dengan satu mata pada perlawanan terakhir kempen liga kali ini.

Keputusan perlawanan Liga Super

• Kedah 0-0 Johor DT

• Sarawak 0-0 T-Team

• Melaka United 1-3 Kelantan

• Pahang 1-1 Perak

• Pulau Pinang 1-3 Selangor

• PKNS 2-4 Felda

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2017 @ 12:00 AM