PEMAIN import Kedah, Liridon Krasniqi (kiri) diasak pemain JDT, Gary Steven Robbat. FOTO Sharul Hafiz Zam
Izzali Ismail


KEDAH menutup tirai perlawanan Liga Super musim ini dengan keputusan seri 0-0 menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam tadi.

Kedah yang turun dengan barisan skuad kedua diketuai Khairul Helmi Johari cuba bermain dengan rentak pantas sebaik perlawanan bermula namun diuji dengan kelicikan pemain import JDT, Gabriel Guerra yang membuat percubaan pada minit ke-10 namun berjaya ditangkap kemas oleh penjaga gol Hadi Hamid.

Penguasaan JDT di bahagian tengah cuba ditangani dengan serangan balas melalui pemain muda Kedah, Hidhir Idris pada minit ke-39 yang melakukan rembatan kencang dari luar kotak penalti namun percubaannya berjaya ditepis Izham Tarmizi Roslan.

Selang dua minit menuju rehat babak pertama, Hadi menjadi penyelamat pasukannya apabila menangkap kemas percubaan bahaya hasil sepakan bebas yang diambil oleh Guerra dari jarak 30 meter.

Memasuki babak kedua, Kedah cuba menguasai bahagian tengah tetapi asakan JDT ke pintu gol Kedah hampir menggusarkan pertahanan Helang Merah melalui sepakan percuma Gonzalo Cabrera pada minit ke-53 sekadar melepasi palang gol.

Kedah mendapat peluang sepakan percuma melalui Liridon Krasniqi pada minit ke-61 tetapi percubaannya kurang bertenaga dan mudah ditangkap Izham.

JDT membalas serangan dengan larian licik oleh Mohammed Ghaddar seminit kemudian apabila berjaya melepasi pertahanan Kedah dan disusuli oleh percubaan Natxo Insa, namun Hadi berjaya menafikan percubaan bahaya mereka.

Kedah dan JDT dilihat cuba melakukan beberapa serangan balas namun tiada gol terhasil hingga ke penghujung perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.

JDT, yang sudah mengekalkan kejuaraan Liga Super keempat berturut-turut, mengumpul 49 mata sebagai juara manakala Kedah menghuni tangga keempat dengan 36 mata.

Kedua-dua pasukan akan bertemu pada final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam pada 4 November ini.

Keputusan perlawanan Liga Super

• Kedah 0-0 JDT

• Sarawak 0-0 T-Team

• Melaka United 1-3 Kelantan

• Pahang 1-1 Perak

• Pulau Pinang 1-3 Selangor

• PKNS 2-4 Felda

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2017 @ 12:07 AM