LEWANDOWSKI (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. -Reuters
RODRIGUEZ (dua dari kanan) melepaskan rembatan ke gawang gol RB Leipzig. -Foto Reuters

BERLIN: James Rodriguez dan Robert Lewandowski menemui sasaran dalam kemenangan 2-0 Bayern Munich ke atas RB Leipzig, yang terpaksa beraksi dengan 10 orang hampir keseluruhan permainan.

Kemenangan itu melonjakkan Bayern ke puncak Bundesliga dan ia adalah kemenangan kedua ke atas RB dalam tempoh empat hari selepas mereka menang penentuan penalti di Leipzig dalam saingan Piala Jerman.

Leipzig kehilangan Naby Keita di babak kedua ketika kekalahan Piala Jerman pada Rabu dan menyaksikan satu lagi kad merah dilayangkan bertemu lawan sama di Allianz Arena apabila kapten mereka Willi Orban dibuang pada pada minit ke-13.

Bayern mendahului permainan lima minit selepas insiden berkenaan apabila James menyudahkan hantaran lintang Robben, sebelum Lewandowski menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-38 hasil hantaran Javi Martinez.

Kemenangan itu meletakkan Bayern di puncak Bundesliga buat kali pertama musim ini, tiga mata di hadapan Borussia Dortmund yang mengatasi Hanover 96 sebelum itu.

Kejayaan Bayern bagaimanapun dibayangi oleh kecederaan Lewandowski yang terpaksa dikeluarkan sebelum rehat, dan kemungkinan tidak dapat beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara menentang Celtic Selasa ini (awal pagi Rabu waktu Malaysia).

“Saya harap ia bukan kecederaan yang serius,” kata pengendali Bayern, Jupp Heynckes. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2017 @ 1:07 PM