MIGNOLET yakin Reds mampu buru kemenangan lagi dalam aksi Liga Juara-Juara. FOTO/AFP
MIGNOLET yakin Reds mampu buru kemenangan lagi dalam aksi Liga Juara-Juara. FOTO/AFP
Reuters

LONDON: Simon Mignolet berkata Liverpool akan ke perlawanan Liga Juara-Juara di laman sendiri berdepan Maribor awal pagi Khamis ini selepas keyakinan mereka dikembalikan hasil kemenangan 3-0 mengatasi Huddersfield Town dalam saingan Liga Perdana Sabtu lalu.

Jaringan Daniel Sturridge, Roberto Firmino dan Georginio Wijnaldum mengangkat skuad kendalian Juergen Klopp ke tangga keenam, hanya enam hari selepas mereka tewas 4-1 kepada Tottenham Hotspur.

Penjaga gol itu mengakui moral pemain rosak teruk selepas keputusan di Wembley dan berkata ia sesuatu yang melegakan apabila kembali bangkit berdepan Huddersfield yang menewaskan Manchester United dalam perlawanan liga sebelum itu.

“Ia sesuatu yang bagus buat pemain dan saya rasa hari ini ia mengangkat tahap keyakinan, yang amat kami perlukan selepas perlawanan minggu lalu,” kata Mignolet dalam laman sesawang rasmi kelab (www.liverpoolfc.com).

“Semua orang tahu ia tidak cukup bagus dan kami perlu berubah dan membalas dengan cara yang betul, dan saya rasa kami sudah melakukannya.”

Liverpool kini mengumpul mata sama dengan Spartak Moscow dalam Kumpulan E Liga Juara-Juara, hanya satu melebihi pasukan tangga ketiga, Sevilla.

Skuad Reds membelasah pasukan kerdil Slovenia, Maribor 7-0 dalam perlawanan sebelum ini dan dijangka sekali lagi mendominasi permainan di Anfield.

Minggu mereka akan lengkap selepas kunjungan ke West Ham United dalam saingan Liga Perdana pada Sabtu, satu lagi perlawanan di mana Liverpool turun sebagai pasukan pilihan.

Wijnaldum bagaimanapun enggan terbawa-bawa dengan jangkaan awal dua perlawanan itu.

“Saya tidak mahu bercakap mengenai ‘minggu yang besar’ kerana setiap minggu adalah minggu yang besar,” kata pemain tengah Belanda itu.

“Setiap minggu anda perlu memungut mata dan menang perlawanan, jadi bagi saya setiap minggu adalah minggu yang besar terutama apabila anda bermain buat Liverpool.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2017 @ 11:25 AM