MARTIAL (kiri) mengantikan Rasford.
AFP

SAMA ada Anthony Martial atau Marcus Rashford, masing-masing tidak gembira menghabiskan masa di bangku simpanan tetapi saingan antara dua pemain ini membawa mereka ke tahap lebih tinggi buat Manchester United musim ini.

Dengan Romelu Lukaku menjadi pilihan utama nombor sembilan dan Henrikh Mkhitaryan secara umum dipilih pengurus Jose Mourinho di sayap kanan, Martial dan Rashford perlu bertarung bagi mendapatkan tempat di sayap kiri.


MARTIAL (tengah) menjaringkan gol tunggal United ketika menentang Spurs.

Rashford biasanya akan memulakan perlawanan, tetapi Martial sudah membuktikan dia juga berkesan selaku pemain yang mencipta impak dan selepas menjaringkan gol kemenangan menentang Tottenham Hotspur Sabtu lalu, dia berkata dia tidak mahu menjadi pemain yang digelar ‘super sub’.

“Saya mahu bermain,” kata pemain antarabangsa Perancis itu.


RASFORD (kanan) ledak gol pada setiap 100 minit.

“Saya tidak mahu berada di bangku simpanan, tetapi Rashford juga bermain dengan baik, jadi pengurus cuba memberikan kami peluang dan kami perlu menjaringkan gol dan bantuan untuk jaringan.”


MARTIAL mempunyai rekod lebih baik berbanding Rasford.

Kemahuan Martial dibantu dengan fakta bahawa dia lebih berkesan berbanding Rashford, walaupun sering dibawa dari bangku simpanan untuk berdepan pertahanan lawan yang semakin keletihan.

Dengan empat gol dan dua umpanan dalam 267 minit aksi Liga Perdana, Martial memainkan peranan penting dan sudah menyamai jaringan gol miliknya musim lalu.

Rashford bermain lebih lama – 607 minit – namun tiga jaringannya dan tiga bantuan gol hadir pada setiap 100 minit.


LUKAKU antara pencabar Martial dan Rasford dalam pemburuan gol United.

Mengambil kira apa yang mereka lakukan, pasangan berkenaan menemui gawang dalam perlawanan yang sama hanya sekali – bulan lalu ketika menang 4-1 mengatasi Burton Albion pada Piala Liga.

Sebelum jaringan kemenangan Martial berdepan Tottenham, Rashford tampak memiliki kelebihan.

Dia menjaringkan gol tunggal ketika United menang 1-0 di tempat lawan mengatasi Benfica dalam liga Juara-Juara dan gol sagu hati ketika kekalahan mengejut 2-1 di tangan Huddersfield Town selepas menggantikan Martial pada babak pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2017 @ 1:33 PM