TIGA bekas atlet podium bagi acara menembak (dari kiri) Muslifah, Nur Suryani dan Nur Ayuni memfailkan saman terhadap ISN berhubung isu penguguran mereka dari Program Podium di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. -Foto OSMAN ADNAN
TIGA bekas atlet podium bagi acara menembak (dari kiri) Muslifah, Nur Suryani dan Nur Ayuni memfailkan saman terhadap ISN berhubung isu penguguran mereka dari Program Podium di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. -Foto OSMAN ADNAN
Aida Adilah Mat


TIGA atlet menembak negara - Muslifah Zulkifli, Nur Ayuni Farhana Abdul Halim dan Nur Suryani Taibi hari ini memfailkan saman bagi membersihkan nama mereka di Mahkamah Kuala Lumpur.

Saman dikeluarkan bagi tujuan membersih imej mereka yang tercalar dengan menamakan Institut Sukan Negara (ISN) sebagai defendan tunggal.

Perkara itu disahkan oleh peguam bela Azlan, Mashod selepas menyerahkan writ saman berkenaan kepada mahkamah.

Azlan ketika ditemui berkata, tuntutan anak guamnya merujuk kepada kes tuntutan kerana digugurkan mengikut cara yang salah dan menyalahi perjanjian yang sepatutnya.

“Plantif adalah tiga atlet negara dan defendan adalah ISN. Kami sudah memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan.

“Selepas salinan termeterai mahkamah diperoleh, saya akan menyerahkan kepada defendan. Apa yang saya mahu adalah keadilan buat anak guam kami,” katanya.

Kes membabitkan tiga atlet menembak ini bermula selepas mereka digugurkan daripada Program Podium, pada Februari lalu atas alasan tidak menyerlah.

Ia berlarutan apabila Ayuni dan Muslifah disingkirkan daripada skuad menembak ketika temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL 2017) kerana dilabelkan sebagai tidak berdisiplin.

Malah hasrat bertemu Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk memperjelaskan kepincangan yang berlaku juga tidak dilayan.

Bagaimanapun Azlan menjelaskan, beliau tetap membuka pintu rundingan jika defendan berminat untuk menyelesaikan perkara itu di luar mahkamah.

Berhubungan dengan tuntutan oleh tiga atlet berkenaan, Azlan menjelaskan ketika ini, beliau tidak dapat mendedahkan secara terperinci apa yang dituntut oleh plaintif.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2017 @ 7:16 PM