KANTE kembali berlatih bersama Chelsea. FOTO/REUTERS
AFP

ROME: Jurulatih Chelsea, Antonio Conte berkata hari ini dia akan membiarkan pemain tengah Perancis, N’Golo Kante menentukan sendiri sama ada dirinya cergas bagi saingan Liga Juara-Juara menentang Roma awal pagi esok.

Kante tidak bermain sejak mengalami kecederaan hamstring ketika rehat perlawanan antarabangsa bulan ini.

Pemain berusia 26 tahun itu kembali berlatih sebelum pertemuan Ahad lalu menentang Bournemouth tetapi tidak bermain, dan kini mengikuti penerbangan ke ibu kota Itali itu.


CONTE ketika sidang media Liga Juara-Juara. FOTO/AFP

“Kante sudah berlatih dengan kami,” kata Conte. “Adalah penting ketika ini untuk bercakap dengan pemain itu dan apa yang dirasainya adalah penting.

“Saya adalah seorang pemain dan saya sangat tahu selepas kecederaan, terutama sekali masalah otot, kecederaan teruk, adalah penting untuk mendengar apa kata pemain, untuk mengetahui perasaannya dan membuat keputusan terbaik buatnya dan pasukan.

“Sudah tentu esok kami akan cuba membuat keputusan terbaik.”


CHELSEA susun strategi menghadapi aksi menentang Roma. FOTO/REUTERS

Conte berkata dia menjangkakan ‘satu lagi perlawanan mencabar’ dalam Kumpulan C selepas dua minggu lalu seri 3-3 di London.

“Ia perlawanan yang menarik walaupun seri 3-3 yang membuktikan keinginan kedua-dua pasukan untuk menang. Esok akan ada satu lagi perlawanan sukar,” kata Conte ketika Chelsea mendahului Kumpulan C, dua mata di depan Roma manakala Atletico Madrid ketiga.


CONTE harap Chelsea akan mampu buru kemenangan di Rome. FOTO/REUTERS

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2017 @ 9:55 AM