KLOPP mahu penyokong beri sokongan padu kepada Reds.
KLOPP mahu penyokong beri sokongan padu kepada Reds.
AFP

LONDON: Selepas berdepan kritikan daripada penyokong yang semakin memuncak, pengurus Liverpool Jurgen Klopp perlu memastikan dia dapat mengatasi cabaran lebih besar pada saingan Liga Juara-Juara sekali gus menepis keraguan peminat kelab itu.

Dengan Liverpool kini ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City walaupun melakar kemenangan 3-0 ke atas Huddersfield, Sabtu lalu, Klopp wajar menarik nafas lega apabila lawan yang akan ditemui selepas ini adalah wakil Slovenia, Maribor di Anfield awal pagi Khamis ini.

PENYOKONG Reds mula goyah dengan skuad Klopp.
PENYOKONG Reds mula goyah dengan skuad Klopp.

Selepas gagal menjulang sebarang trofi sejak dua tahun membimbing kelab itu termasuk tersingkir pada saingan Piala Liga, Klopp perlu berdepan persoalan adakah Liverpool yang kini sedang bergelut mampu kembali ke landasan selepas permulaan yang baik pada awal musim.

Kepercayaan kepada Klopp semakin luntur selepas kekalahan 1-4 kepada Tottenham dengan pengkritik serta penyokong menganggap Liverpool jauh lebih baik ketika di bawah bimbingan Brendan Rodgers. Situasi semasa pastinya mencetuskan resah kepada Klopp apabila kemenangan ke atas Huddersfield disambut hambar oleh penonton di Anfield.

KLOPP susun strategi untuk anak buah.
KLOPP susun strategi untuk anak buah.

Mengambil kira sejarah hebat Liverpool termasuk memenangi 18 kejuaraan liga dan Piala Eropah, Klopp menyuarakan kebimbangan mengenai penyokong yang mengharapkan sasaran tidak realistik berbanding zaman kegemilangan dulu.

“Masalah di kelab ini ialah apabila kami gagal mencapai sesuatu, penyokong akan membandingkannya dengan kejayaan lalu. Mereka melunturkan keyakinan pemain apabila mengeluarkan kata-kata seperti ‘anda tidak cukup bagus’. Inilah masalahnya,” katanya.

Di sebalik kesukaran dialami ketika ini, Klopp mungkin berdepan kempen lebih baik di Liga Juara-Juara - saingan yang sentiasa menyentuh emosi peminat Reds. Liverpool kini berada di kedudukan terbaik untuk layak ke pusingan kedua selepas mengumpul lima mata daripada tiga perlawanan pertama.

PEMAIN Reds perlu beraksi konsisten.
PEMAIN Reds perlu beraksi konsisten.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2017 @ 3:04 PM