ISN sudah melantik peguam.
ISN sudah melantik peguam.
Mohd Fitrie Muhamad


INSTITUT Sukan Negara (ISN) yang dinamakan sebagai defendan tunggal mengambil pendekatan untuk tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan susulan saman yang difailkan tiga penembak negara kepada badan itu.

Kenyataan media yang dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat ISN menyebut badan itu sudah melantik peguam cara untuk mengendalikan perkara berkenaan serta menyerahkan kes itu sepenuhnya kepada mahkamah.

“Berkenaan dengan kenyataan berita mengenai saman dikeluarkan tiga penembak kebangsaan - Muslifah Zulkifli, Nur Ayuni Farhana Abdul Halim and Nur Suryani Taibi terhadap ISN, ISN akan membiarkan mahkamah menentukan perkara ini.

“ISN sudah melantik peguam cara untuk mengendalikan perkara ini bermula dari sekarang. ISN ingin mengelakkan daripada mengeluarkan apa-apa kenyataan atau komen agar tidak menjejaskan proses mahkamah, melainkan jika perlu,” kata kenyataan media yang dikeluarkan ISN, hari ini.

Pada 30 Oktober lalu, tiga atlet menembak negara iaitu Muslifah, Nur Ayuni Farhana dan Nur Suryani memfailkan saman bagi membersihkan nama mereka di Mahkamah Kuala Lumpur.

Saman dikeluarkan bagi tujuan membersih imej mereka yang tercalar dengan menamakan ISN sebagai defendan tunggal. Perkara itu disahkan oleh peguam bela Azlan, Mashod selepas menyerahkan writ saman berkenaan kepada mahkamah.

Kes membabitkan tiga atlet menembak berkenaan bermula selepas mereka digugurkan daripada Program Podium pada Februari lalu atas alasan tidak menyerlah.

Ia berlarutan apabila Ayuni dan Muslifah disingkirkan daripada skuad menembak ketika temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL 2017) kerana dilabelkan sebagai tidak berdisiplin.

Selain itu hasrat bertemu Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk memperjelaskan kepincangan yang berlaku juga tidak dilayan.

Bagaimanapun pintu rundingan tetap dibuka jika defendan berminat untuk menyelesaikan perkara itu di luar mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2017 @ 3:50 PM