X
AKSI skuad hoki remaja ketika bertembung dengan pasukan Jepun di kejohanan SOJC 2017 . FOTO Mohd Azren Jamaludin
AKSI skuad hoki remaja ketika bertembung dengan pasukan Jepun di kejohanan SOJC 2017 . FOTO Mohd Azren Jamaludin
Naqib Nor Said

Kuala Lumpur: Meskipun gagal mencapai sasaran tiga terbaik pada Kejohanan Piala Sultan Johor (SOJC) 2017, namun skuad hoki remaja negara sudah menampakkan ‘ramuan’ untuk kembali menjadi pasukan paling digeruni di benua Asia.

Perkara itu diakui penolong jurulatih skuad senior kebangsaan, Lim Chiow Chuan yang sempat melihat beberapa aksi skuad bimbingan Wallace Tan yang sekadar meraih tempat keempat dalam saingan edisi ketujuh di Johor Bahru itu.

“Dengan latihan dan pendedahan yang lebih banyak termasuk memperbanyakkan aksi kompetitif yang lebih tinggi, saya yakin pasukan ini boleh pergi jauh,” kata jurulatih berusia 51 tahun itu.

Malah, dia percaya dengan barisan sedia ada tidak mustahil untuk skuad muda negara itu mengulangi pencapaian skuad Projek 2013 muncul juara Piala Remaja Asia 2012 di Melaka selepas gelaran itu dirampas India pada edisi 2015 di Pahang.

“Ya, saya yakin kita boleh capai (mengulangi pencapaian skuad Projek 2013). Tetapi kita perlu cari lebih ramai pemain kerana dengan adanya kelompok pemain yang lebih besar akan memudahkan kerja jurulatih membawa pemain terbaik.

“Bagi saya program Thunderbolts yang diperkenalkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mula membuahkan hasil apabila pemain-pemain ini tampak mempunyai kualiti kemahiran individu yang begitu hebat.

“Bagaimanapun, untuk pergi lebih jauh mereka perlukan lebih banyak perlawanan pendedahan di peringkat antarabangsa kerana skuad Projek 2013 sendiri pun berkelana di Eropah dan juga beraksi sebagai sebuah pasukan untuk tempoh lebih tiga tahun,” katanya.

Skuad Wallace ini dibentuk sejak awal tahun ini dengan tempoh latihan yang singkat iaitu menerusi lima fasa latihan, dan pencapaian kali ini sudah cukup untuk mereka memperbaiki pencapaian tempat kelima pada edisi 2016.

Misi utama bagi skuad yang rata-ratanya terdiri daripada pemain berusia antara 17 dan 18 tahun ini adalah melayakkan diri ke Piala Dunia Remaja seterusnya yang dijadualkan berlangsung pada tahun 2019.

Malah, masa depan hoki negara dilihat begitu cerah dengan kemunculan bakat muda seperti Mohd Akhimullah Anuar Esook, Shello Silverius, Shafiq Hassan, Azrai Aizad Abu Kamal, Amirul Hamizan Azahar dan Hafizhuddin Zaidi di SOJC.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2017 @ 9:16 AM
Digital NSTP Subscribe