JARINGAN Guerreiro (kanan) tidak memadai untuk Dortmund kutip tiga mata. FOTO/AFP
AFP

DORTMUND: Borussia Dortmund kendalian Peter Bosz terus dipalit kekecewaan dalam saingan Liga Juara-Juara apabila terikat 1-1 dengan APOEL dari Cyprus, di laman sendiri, awal pagi tadi.

Jaringan menarik Raphael Guerreiro untuk Dortmund di babak pertama dinafikan oleh gol penyamaan Mickael Pote selepas waktu rehat, sekali gus menjadikan ia malam penuh mendukacitakan buat tuan rumah.

POTE (dua dari kiri) jaring gol penyamaan APOEL. FOTO/AFP

“Saya boleh memahami kekecewaan itu, kami perlu menang apabila menentang pasukan seperti ini,” kata jurulatih Dortmund, Bosz selepas mereka diejek oleh penyokong sendiri.

“Ia satu situasi yang amat sukar, kami memerlukan kemenangan. Kami mengharungi perkara ini bersama dan kami harus mencari jalan keluar.”

Dortmund kekal tanpa meraih sebarang kemenangan selepas empat perlawanan dalam Kumpulan H dan mesti menewaskan Tottenham Hotspur dalam pertemuan selepas ini.

Mereka juga perlu berharap Real Madrid akan tercicir mata di laman APOEL untuk mencerahkan peluang ke peringkat seterusnya.

BOSZ (tiga dari kanan) gagal pacu anak buah buru kemenangan ke atas APOEL. FOTO/AFP

Ketika ini, Dortmund berada di tangga ketiga kumpulan dengan hanya mengumpul dua mata, berkongsi kedudukan dengan APOEL dan lima mata di belakang Madrid yang berada di tangga kedua.

Tottenham menewaskan kelab gergasi Sepanyol itu 3-1, untuk menjamin tempat ke pusingan 16 terbaik.

Satu-satunya kemenangan Dortmund dalam lima perlawanan sebelum ini adalah ketiga menentang pasukan divisyen ketiga, Magdeburg dalam aksi Piala Jerman.

Sebelum berkunjung ke APOEL, Bosz meletakkan sasaran kemenangan, namun sekali lagi pasukannya gagal meraih keputusan yang diharapkan.

PENYOKONG APOEL memberi sokongan padu kepada pasukannya. FOTO/AFP

“Kami tersekat dalam fasa yang teruk,” kata kapten pasukan, Marcel Schmelzer. “Gol kedua sebelum waktu rehat mungkin dapat membantu kami. Kami harus bersama untuk keluar daripada fasa ini.”

Perlawanan itu menunjukkan satu lagi prestasi longgar mereka di bahagian pertahanan dan jentera serangan juga jelas tumpul.

Pada masa sama, penyerang bintang, Pierre-Emerick Aubameyang juga terus gagal menemui penyudah dalam empat perlawanan.

Keputusan serta prestasi sebegini jelas bukan sesuatu yang diingini Bosz ketika mereka bersiap untuk perlawanan Bundesliga, apabila dijadual melayan kunjungan juara bertahan, Bayern Munich, Sabtu ini.

AUBAMEYANG (kiri) gagal tembusi gawang APOEL. FOTO/AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2017 @ 9:33 AM