SKUAD futsal lelaki negara meraikan kejayaan memenangi pingat perak pada Sukan SEA lalu.
SKUAD futsal lelaki negara meraikan kejayaan memenangi pingat perak pada Sukan SEA lalu.
Devinder Singh


Kuala Lumpur: Dengan peluang untuk melakar sejarah, jurulatih skuad futsal kebangsaan, Chiew Chun Yong pantas mengingatkan pemainnya supaya terus menumpukan perhatian apatah lagi mereka bakal menentang Thailand di final Kejohanan AFF di Ho Chi Minh, hari ini.

Malaysia pernah melayakkan diri ke final kejohanan sama dalam tiga edisi - kali terakhir pada 2010 - namun tidak pernah berjaya muncul juara.

Thailand sudah dua kali menewaskan Malaysia dengan keputusan 6-3 di peringkat kumpulan dan 4-3 di pusingan round-robin ketika temasya Sukan SEA.

Tetapi Chun Yong yakin Malaysia mempunyai kemampuan untuk mengejutkan juara 12 kali itu di final nanti.

“Thailand pasukan pilihan dan secara teknikalnya, mereka pasukan kuat tetapi kami sudah bersedia untuk berdepan mereka,” kata Chun Yong. “Saya akan mengubah perancangan dan taktikal untuk bertemu mereka kali ini.

“Selagi pemain bermain mengikut perancangan seperti ketika kami menentang Vietnam di separuh akhir, saya percaya Malaysia mampu memberi saingan buat Thailand.”

Malaysia akan bermain tanpa Abu Haniffa Hasan selepas dia diarah keluar padang ketika menang 5-1 ke atas Vietnam, Rabu lalu tetapi Chun Yong berkata, ketiadaan pemain itu bukan satu isu.

Apa yang penting baginya ialah pemain sama sekali tidak boleh leka - perkara yang berlaku ketika menentang Thailand di peringkat kumpulan hingga menyaksikan lawan mendahului 5-0 sambil anak buahnya terlepas beberapa peluang menjaringkan gol.

“Thailand gagal memecahkan benteng pertahanan kita sepanjang 10 minit pertama tetapi pemain kita hilang tumpuan selepas itu. Ia juga disebabkan kegagalan pemain untuk mengawal pergerakan lawan,” katanya.

“Pada babak kedua, kami mencipta banyak peluang tetapi gagal menjaringkan gol. Thailand mempunyai pemain yang lebih berkualiti dari segi teknik dan skil individu. Itu saja perbezaannya. Benteng pertahanan mereka juga sangat berdisiplin.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2017 @ 9:17 AM