SALAH mampu jadi kunci kepada Liverpool untuk meneruskan kebangkitan di West Ham, esok. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Jurgen Klopp percaya pemain sayap Mesir, Mohamed Salah yang berada pada prestasi terbaik akan menjadi kunci kepada Liverpool untuk meneruskan kebangkitan di West Ham, esok.

Selepas permulaan hambar musim ini, skuad kendalian Klopp meredakan tekanan ke atas pengendali dari Jerman itu dengan kemenangan 3-0 ke atas Huddersfield (Liga Perdana Inggeris) dan Maribor (Liga Juara-Juara).

The Reds akan bertandang ke timur London untuk meneruskan rentak kemenangan mereka dan Klopp sedar, Salah adalah kunci kepada rancangannya.


KLOPP tagih aksi Salah. FOTO/AFP

Sejak tiba dari Roma akhir musim lalu, Salah sudah meledak 10 kali, termasuk empat gol dalam tiga penampilan terakhirnya.

Keyakinan tinggi pemain 25 tahun itu cukup jelas ketika dia menembusi benteng Maribor di Anfield awal pagi semalam, apabila menjaringkan gol menggunakan tumitnya.

Salah hanya memerlukan 16 aksi untuk mencapai jaringan dua angka - kadar jaringan yang meletakkannya setanding Fernando Torres dan lebih baik berbanding Luis Suarez ketika musim pertama masing-masing di Anfield.


FIRMINO (dua dari kanan) harap Klopp kembali cergas.

Bermain di sayap kanan, bekas pemain Chelsea itu memanfaatkan keupayaannya untuk memotong masuk dan Klopp kagum dengan kemajuan dipamerkannya.

“Dia seorang pemain tengah yang bijak mengatur serangan, jika bukan seorang penyerang,” kata Klopp.

“Dia gemarkan situasi ini. Dia menggunakan kelajuannya walaupun dalam ruang yang terhad (menentang Maribor), muncul dari belakang.”


KLOPP (tengah) sedang memberi taklimat kepada anak buah. FOTO/AFP

Sementara itu, West Ham yang gagal mencatat kemenangan dalam tiga aksi liga terakhir mereka, kini hanya satu mata di atas zon penyingkiran, dengan tekanan semakin dirasakan pengendalinya, Slaven Bilic.

Kemenangan Piala Liga ke atas Tottenham awal bulan lalu meredakan sedikit tekanan berkenaan, tetapi jika tewas kepada Liverpool, masa depan Bilic dijangka kembali terjejas. - AFP


SALAH sudah ledak 10 gol. FOTO/AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2017 @ 10:35 AM