AKSI Nurul Huda ketika menang 8 pingat emas Sukan SEA 1989. -Foto fail
Mohd Khairie Khalid


ISU membabitkan pengambilan bahan terlarang dalam kalangan atlet di Malaysia seakan-akan tidak pernah hilang.

Sedar akan perkara itu, bekas ratu renang negara, Nurul Huda Abdullah menyeru pihak bertanggungjawab dapat memantau dengan lebih rapi supaya penyalahgunaan itu dapat ditangani.

Nurul Huda, pemenang 22 pingat emas sepanjang era pembabitan di temasya Sukan SEA, menaruh harapan tinggi atlet Malaysia bersih pada Sukan Komanwel Gold Coast dan Sukan Asia Indonesia tahun depan.

“Sebagai seorang bekas atlet yang mewakili Malaysia dalam pelbagai kejohanan dalam dan antarabangsa, saya sentiasa menyokong supaya tidak ada sebarang penggunaan bahan terlarang. Ia bagi mengelakkan risiko kepada tahap kesihatan selain ingin mengekalkan integriti dalam bersukan.

“Atlet harus dimaklumkan mengenai risiko jika mengambil bahan terlarang. Apa pun dengan adanya Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun depan, saya harap pihak bertanggungjawab akan giat memberikan kesedaran supaya dapat mengelakkan perkara ini terus terjadi,” kata Nurul Huda ketika dihubungi.

Baru-baru ini, tanda tanya mengenai siapa atlet negara yang gagal ujian doping ketika temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) Ogos lalu, terjawab apabila Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) mengesahkan atlet berkenaan adalah Wendy Ng.

Wendy disahkan mengambil bahan terlarang jenis sibutramine selepas sampel B yang diuji di makmal Agensi Anti Doping Dunia di New Delhi pada 11 Oktober lalu turut positif.

Pada temasya KL2017 yang lalu, Wendy berjaya meraih dua emas iaitu dalam acara 3 meter papan anjal individu wanita dan 3m papan anjal seirama bergandingan dengan Nur Dhabitah Sabri.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan membabitkan hasratnya untuk kembali menggegar kolam renang selepas bersara sejak 27 tahun lalu, Nurul Huda berkata, dia sudah mengadakan perbincangan bersama Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM).

“Saya sudah berbual dengan Mae Chan (Setiausaha Kehormat ASUM) mengenai cara saya boleh memberikan sumbangan kepada pembangunan sukan renang secara umum dan saya mempunyai beberapa perancangan, namun ia masih belum rasmi lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2017 @ 9:49 PM