MESSI (tengah) meraikan penampilan ke-600 buat Barca. FOTO/AFP
AFP

BARCELONA: Lionel Messi akan meraikan penampilan ke-600 buat Barcelona malam ini yang disifatkan pengurusnya Ernesto Valverde sebagai pencapaian ‘menggerunkan’.

Pemilik Ballon d’Or lima kali itu menjadi pemain ketiga meraih pencapaian sedemikian buat kelab Catalan itu selepas bekas pengatur serangan Xavi Hernandez (767 penampilan) dan kapten ketika ini Andres Iniesta (642).

Menerusi 599 perlawanan sejak 2004 legenda Argentina berusia 30 tahun itu menjaringkan 523 gol dalam semua kejohanan untuk menjadi penjaring terbanyak kelab sepanjang zaman dan penjaring terbanyak La Liga dengan 360 gol.


MESSI sudah menjarinkang 523 gol dalam semua kejohanan bersama Barca.

“Ia menggerunkan, 600 perlawanan untuk kelab sama, dengan semua gol yang dijaringkan, bantuan gol hasil kelincahan yang dimilikinya,” kata Valverde yang mengagumi pemain itu pada sidang media pra perlawanan awal pagi tadi.

“Anda kehilangan kata-kata untuk menggambarkan pengembaraan Messi. Ia membuktikan kepentingannya kepada kelab.

‘Untuk mencapai 600 perlawanan, ia jumlah perlawanan yang banyak! Ia sungguh luar biasa, seperti apa yang dilakukannya sebelum ini.

“Dia bukan hanya tampil dalam perlawanan ke-600 tetapi bagaimana dia bermain dalam 600 perlawanan itu.”

Sewaktu menentang Sevilla di Camp Nou, Messi berpeluang menambah koleksi jaringan liga peribadi, iaitu 12 gol yang membawa Barcelona empat mata di puncak liga.

Sebaliknya rakan penyerang Luis Suarez menempuhi zaman suram musim ini dengan hanya tiga gol.

“Luis seorang penjaring gol, soalnya bagaimana dia perlu mengekalkannya,” kata Valverde.

“Jika ada satu perkara yang menggambarkan dirinya: dia keras hati, agresif, komited dengan kerja dan kami sedar dia sentiasa mempunyai peluang menjaringkan gol...Saya tidak fikir Luis Suarez akan kehilangan sentuhan.”


MESSI ketika berlatih bersama rakan sepasukan. FOTO/AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2017 @ 9:13 AM