POCHETTINO mahu anak buah fokus jumpa Palace.
POCHETTINO mahu anak buah fokus jumpa Palace.
AFP

LONDON: Mauricio Pochettino berkata anak buahnya sama sekali tidak akan memandang rendah kunjungan pasukan tercorot Liga Perdana Inggeris, Crystal Palace di Wembley, esok.

Tottenham berada di tahap terbaik sejak menewaskan penyandang juara Liga Juara-Juara Real Madrid 3-1 baru-baru ini.

Atmosfera perlawanan juga mungkin sedikit hambar sekiranya Palace - pasukan yang masih belum menjaringkan gol dalam lima perlawanan liga di tempat lawan - tidak dikalahkan dan Pochettino memberi amaran kepada pemain supaya tidak leka.

“Kami harus fokus. Kami perlu menggunakan keputusan nanti untuk melonjakkan kedudukan dan membina lebih keyakinan,” kata pengurus Tottenham itu. “Namun kami memahami yang kami perlu berusaha gigih untuk mendapatkan keputusan yang baik, Ahad ini.

“Ia sentiasa akan menjadi sukar apabila harus bermain pada Rabu sehingga Ahad. Ia satu usaha yang besar. Kami harus bersedia bagi menghadapi perlawanan yang sengit. Crystal Palace adalah sebuah pasukan yang sangat bagus. Mereka bergelut pada awal musim.

 PEMAIN Spurs berlatih bagi menghadapi aksi EPL. FOTO/AFP
PEMAIN Spurs berlatih bagi menghadapi aksi EPL. FOTO/AFP

“Mereka menukar pengurus tetapi kami sangat mengenali Roy Hodsgson. Kami mempunyai hubungan yang baik dari pasukan kebangsaan lagi. Mereka sentiasa tersusun. Ia pastinya menuntut banyak tenaga.

“Adalah benar cabaran utama ketika ini adalah untuk fokus. Ia juga adalah satu peluang besar untuk melupakan perlawanan dengan Real Madrid.”

Kekalahan 1-0 Spurs di tangan Manchester United minggu lalu meninggalkan mereka kini tercicir lapan mata untuk berada di tangga ketiga di belakang pendahulu Manchester City dan Pochettino sedar akan kerugian itu.

“Crystal Palace adalah satu lagi final buat kami,” katanya. “Selepas tewas di tangan Man United, adalah penting untuk kami meraih kemenangan semula dalam kancah Liga Perdana.

“Semua perlawanan adalah penting dan sengit. Kamu tidak boleh berasa selesa apabila kamu bersaing dalam perlawanan ini.”

SENTUHAN Hodsgson (kiri) buat Pochettino bimbang. FOTO/AFP
SENTUHAN Hodsgson (kiri) buat Pochettino bimbang. FOTO/AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2017 @ 10:43 AM