PEMAIN Kedah kecewa selepas tumpas kepada Johor DT 0-2 dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2017 di Stadium Shah Alam. -Foto OSMAN ADNAN
Aziman RosdiFirdaus Hashim dan Zulfaizan Mansor dan Syafiq Aznan


GOL seawal minit ketiga yang dilepaskan Kedah pada final Piala Malaysia nyata menyentap momentum pemain skuad Helang Merah ketika mereka masih mencari rentak perlawanan.

Situasi itu diakui pengendalinya, Nidzam Adzha Yusoff yang menjelaskan anak buahnya terpaksa membayar ‘harga yang mahal’ selepas sedikit kesilapan dihukum oleh pemain Johor Darul Ta’zim (Johor DT).


REAKSI penyokong Kedah yang kecewa selepas pasukan kesayangan mereka tumpas 0-2 kepada Johor DT. -Foto OSMAN ADNAN

“Sebelum permainan bermula lagi, kami tahu Johor DT sememangnya berbahaya dalam situasi bola mati dan serangan balas pantas. Akhirnya perkara sedemikian terjadi pada awal permainan.

“Sememangnya jaringan pembukaan itu mengganggu fokus kami. Bagaimanapun, saya berpuas hati dengan persembahan anak buah saya namun sedikit kesilapan yang dilakukan akhirnya menyebabkan kami kecundang,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Pada aksi final itu, petanda kegagalan Kedah untuk mempertahankan Piala Malaysia sudah boleh dilihat apabila kelekaan pertahanan mereka membolehkan pertahanan lawan, Aidil Zafuan Radzak menanduk gol pendahuluan seawal minit ketiga.


NIDZAM kecewa selepas pasukannya tumpas kepada Johor DT -Foto OSMAN ADNAN

Gonzalo Cabrera kemudiannya memadam semangat Kedah untuk bangkit pada babak kedua apabila dia menyudahkan hantaran lintang Hazwan Bakri untuk gol kedua Johor DT pada minit ke-63.

Walaupun Kedah cuba membuat pertukaran dengan memasukkan pemain yang lebih bertenaga namun itu belum cukup untuk menembusi gawang yang dijaga Izham Tarmizi Roslan.

Kekalahan itu meleburkan hasrat Kedah untuk merangkul kejuaraan Piala Malaysia buat kali keenam dan keputusan 2-0 itu turut mirip kekalahan Kedah di tangan Selangor pada final Piala Malaysia 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2017 @ 12:34 AM