KANE terpaksa tarik diri akibat kecederaan lutut, manakala Winks (gambar kecil bawah) dan Alli (gambar kecil atas) turut tarik diri dari skuad England. -Foto Agensi
AFP

LONDON: Penyerang prolifik Tottenham Hotspur Harry Kane menarik diri daripada skuad England untuk aksi persahabatan berprestij menentang juara Piala Dunia, Jerman dan juara dunia lima kali Brazil berikutan kecederaan lutut.

Rakan sepasukannya di Spurs, pemain tengah Harry Winks, yang turut tidak beraksi akibat kecederaan buku lali, menjadikannya tiga pemain dari kelab itu tidak disenaraikan kali ini memandangkan Dele Alli turut menarik diri.

Kedua-dua Kane serta Winks, yang mencetus impak buat Spurs musim ini mencatat cap pertamanya bulan lalu, mengalami kecederaan itu sewaktu kelab mereka menewaskan Crystal Palace pada Ahad.

Pengurus Tottenham Mauricio Pochettino berkata Winks, yang dikeluarkan pada separuh masa kedua perlawanan menentang Palace, terseliuh buku lali.

Kane mengalami rawatan pada lututnya sewaktu separuh masa pertama dan digantikan pada minit ke-77 sebagai ‘perlindungan’, menurut Pochettino.

Jurulatih England Gareth Southgate memanggil Jake Livermore biarpun kelab pemain tengah West Brom itu mengalami prestasi membimbangkan, gagal mencatat kemenangan dalam 10 perlawanan.

“Perkembangan terkini skuad: kami akan kehilangan khidmat Harry Kane dan Harry Winks untuk perlawanan ini, manakala Jake Livermore dipanggil,” menurut kenyataan di laman Twitter rasmi pasukan England.

Southgate, yang membawa England mara ke pusingan akhir Piala Dunia 2018 dalam cabaran utamanya sejak menggantikan Sam Allardyce tahun lalu, turut berdepan isu kecederaan yang dialami pertahanan Chelsea Gary Cahill dan pemain tengah Liverpool Jordan Henderson.

Henderson tidak beraksi ketika Liverpool menewaskan West Ham 4-1 Sabtu lalu berikutan kecederaan paha.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2017 @ 10:02 AM