EVRA (kiri) akan berdepan hukuman berat selepas tindakanya menyepak penyokong Marseille. -Foto AFP
EVRA (kiri) akan berdepan hukuman berat selepas tindakanya menyepak penyokong Marseille. -Foto AFP
Agensi

PARIS: Jurulatih Perancis, Didier Deschamps menjangkakan Patrice Evra akan membayar harga mahal susulan tindakannya menyepak penyokong Marseille, minggu lalu dan sedar bekas kapten Les Bleus sepatutnya lebih tahu tentang akibat semua itu.

“Saya tidak mengutuk atau pun menghukumnya. Patrice juga pasti sedar akibatnya,” kata Deschamps.

“Ia sesuatu yang kamu tidak boleh lakukan dan dia pasti tahu semua itu. Keputusan akan dibuat oleh dua pihak, UEFA dan juga pasukannya.”

Pemain 36 tahun itu digantung oleh Marseille selepas menerima kad merah susulan tindakannya menyepak penyokong ala karate ketika sesi pemanas badan sebelum perlawanan menentang Vitoria Guimaraes.

Penyokong Marseille meluahkan rasa kurang senang terhadap Evra dengan menjulang sepanduk yang ‘menentang’ pemain itu.

Malah bekas pemain Manchester United dan Juventus itu juga diejek, sambil mengangkat sepanduk dengan tulisan “This Game is Over” sebagai mempersendakan slogan yang sering dilaungkan Evra “I love this game.”

Selain itu, antara lain sepanduk yang dipasang ketika perlawanan itu adalah “Kami tidak mahukan kamu dalam warna kami. Berambus Evra.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2017 @ 10:28 AM