CORK (kiri) dipanggil bersama skuad England buat kali pertama selepas beberapa tonggak alami kecederaan. -Foto Agensi
AFP

LONDON: Selepas beberapa pemain tidak dapat disenaraikan susulan isu kecergasan, pemain tengah Burnley, Jack Cork dipanggil menyertai skuad England buat kali pertama bagi menghadapi dua aksi persahabatan menentang Jerman dan Brazil minggu depan.

Pengurus England, Gareth Southgate tidak dapat menggunakan khidmat Raheem Sterling, Fabian Delph dan Jordan Henderson yang masing-masing mengalami kecederaan.

“Dengan kehadiran Cork, ia bermakna Gareth Southgate akan dapat meneruskan persiapan di St George Park dengan 22 pemain,” kata Persatuan Bola Sepak England.

Sebelum ini, persiapan Three Lions terjejas apabila trio Tottenham Hotspur, Dele Alli, Harry Kane dan Harry Winks sudah pun tersisih daripada senarai 25 pemain.

“Dua pemain Manchester City, Raheem Sterling dan Fabian Delph sudah kembali ke kelab selepas diketepikan untuk perlawanan akan datang. Jordan Henderson juga bakal terlepas dua perlawanan itu kerana kecederaan.

Sebelum ini, Southgate turut membawa masuk Michael Keane dan Jake Livermore.

Satu-satunya khabar gembira buat skuad England apabila pertahanan Chelsea, Gary Cahill kembali berlatih selepas menjalani penilaian kecergasan bersama kelabnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2017 @ 9:06 AM