KANE (kanan) akan kembali beraksi menentang Arsenal. -Foto Reuters
Reuters

LONDON: Penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane dijangka akan cergas sepenuhnya untuk menghadapi Arsenal dalam aksi Liga Perdana Inggeris pada 18 November ini, kata pengurus kelab itu, Mauricio Pochettino.

Kane mengalami kecederaan dan terpaksa digantikan ketika membantu Spurs menang 1-0 ke atas Crystal Palace, Ahad lalu.

Kecederaan pada aksi itu menyebabkannya tersisih daripada skuad kebangsaan England untuk menghadapi perlawanan persahabatan menentang Jerman dan Brazil minggu ini.

Bagaimanapun, Pochettino menegaskan pemain berusia 24 tahun itu akan kembali dalam senarai utama dalam kunjungan ke Stadium Emirates.

“Dia disepak di lutut tetapi jangan risau. Dia boleh bermain untuk aksi selepas ini,” kata Pochettino ketika melancarkan bukunya di sini, semalam.

Spurs kini berada di tangga ketiga Liga Perdana Inggeris dan Kane sudah pun menjaringkan lapan gol dalam 10 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2017 @ 10:01 AM