PEMAIN pasukan ragbi negara menjalani latihan di padang ragbi Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh. FOTO/MUHAIZAN YAHYA
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


MESKIPUN sedar peluang untuk layak ke Piala Dunia 2019 di Jepun cukup sukar, pasukan ragbi negara tetap menjalani latihan intensif bagi menghadapi peringkat kelayakan pertama ke kejohanan berpestij itu yang dijadual berlangsung tahun depan.

Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, halangan besar untuk layak ke Piala Dunia langsung tidak melunturkan semangat barisan pemain negara bagi menghadapi kempen kelayakan.

“Daripada awal lagi memang kami tahu bukan mudah untuk layak ke Piala Dunia.

“Tapi sekurang-kurangnya pemain akan berdepan pengalaman berguna beraksi di kempen kelayakan buat kali pertama.

“Ini perkembangan positif buat kami dalam usaha untuk cuba meraih keputusan lebih baik selepas ini,” katanya.

Jelas Shahrul, ketika ini, latihan skuad negara lebih banyak bertumpu kepada usaha menguatkan fizikal dan mental.

“Kalau kita buat persiapan biasa saja maka keputusannya akan biasa juga.

“Sekarang setiap pemain sedang menjalani latihan cukup berat dalam usaha untuk menyamai ketahanan fizikal pemain negara lain yang beraksi di kempen kelayakan,” katanya.

Skuad ragbi negara layak beraksi di kempen kelayakan Piala Dunia 2019 selepas menjuarai Divisyen 1 Kejohanan Ragbi Asia (ARC) di Ipoh, Perak, Mei lalu.

Terdapat beberapa peringkat untuk layak ke Piala Dunia dengan skuad negara perlu mengharungi saingan Divisyen Perdana terlebih dulu yang membabitkan saingan dengan Hong Kong dan Korea Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2017 @ 7:45 PM