SAFIYAH (kanan) menewaskan Jenny pada saingan empat teratas dengan 227-197.
Fadhli Ishak


PEMAIN boling kebangsaan, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman menamatkan saingan di tangga kedua pada Piala Dunia AMF dekat Hermosillo, Mexico hari ini ketika cabaran Ahmad Muaz Mohd Fishol dalam acara lelaki berakhir pada separuh akhir.

Safiyah menewaskan juara bertahan Jenny Wagner dari Sweden, yang menduduki tangga teratas pusingan kelayakan pada saingan empat terakhir dengan 227-197.

Bagaimanapun dia tewas perlawanan penentuan berdepan lawan dari Filipina, Krizziah Lyn Tabora 236-191.

Pemain berusia 27 tahun itu mengakui ia bukanlah hari terbaik buatnya.

“Saya berjaya melakukan beberapa balingan bagus dalam final tetapi ia masih belum cukup,” kata Safiyah.

“Memang saya mahu menang tetapi secara keseluruhan saya berpuas hati dengan persembahan saya minggu ini. Saya sudah melakukan yang terbaik dalam kejohanan ini dan berjaya ke final.

“Banyak yang saya pelajari di sini dan saya mengambil perkara positif di sini bagi menghadapi Kejohanan Dunia di Las Vegas (24 November-4 Disember).”

Persembahan terbaik Safiyah dalam kejohanan sama sebelum ini ialah di Melaka pada 2009.

Muaz menamatkan saingan berkongsi kedudukan ketiga selepas tewas 266-176 kepada juara sebenar, Jakob Butturff dari Amerika Syarikat pada separuh akhir.

Pasangan berkenaan akan ke Reno esok ketika mereka akan bersama skuad negara sebelum berlepas ke Las Vegas pada 16 November.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 5:35 PM