Shaharuddin (duduk enam dari kanan) bersama dengan penyokong pasukan Perlis melaungkan semangat 'Perlis Boleh' selepas ‘Hi-Tea: Sembang Bola Bersama Presiden PFA’ di sebuah hotel di Kangar, hari ini. FOTO Aizat Sharif
Aizat Sharif

PERSATUAN Bola Sepak Perlis (PFA) mengambil keputusan untuk mewujudkan Liga Perlis bermula tahun hadapan sebagai penyelesaian kepada ketiadaan pemain pelapis serta bakat bola sepak negeri itu yang berkualiti untuk diketengahkan ke skuad utama Perlis.

Presiden PFA, Ir Shaharuddin Ismail berkata, ketiadaan pemain pelapis serta liga domestik negeri itu menyebabkan pasukan Singa Utara itu banyak bergantung kepada pemain yang berasal dari luar negeri itu.

“Kita tiada pemain Piala Presiden serta Piala Belia, malah untuk saingan Piala Belia tahun lalu juga kita hanya ‘tangkap muat’ pemain yang ada dan ia tidak cukup untuk dijadikan sebagai pelapis kepada skuad utama.

“Selain itu, pemain Perlis yang datang dari luar negeri ini juga dilihat kurang semangat cintakan Perlis kerana mereka bukannya anak jati Perlis dan sekarang ini kita sangat memerlukan bakat anak jati Perlis yang mahu kita ketengahkan ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menhadiri ‘Hi-Tea: Sembang Bola Bersama Presiden PFA’ di sebuah hotel di Kangar, hari ini.

Tambahnya, dengan adanya Liga Perlis ini sekurang-kurangnya dapat menghadirkan lagi ramai bakat pemain muda dari negeri itu yang dapat dijadikan pemain pelapis sebelum diserapkan ke pasukan Piala Presiden serta skuad utama Perlis.

“Dalam perancangan kita, Liga Perlis ini akan dijadikan sebagai platform untuk mencari pemain muda dari negeri ini yang dilihat berbakat dan setiap pasukan atau kelab akan diwajibkan mendaftar lima pemain atau lebih daripada lima pemain yang berusia bawah 21 tahun.

“Setiap perlawanan pula, hanya dua pemain bawah 21 tahun sahaja yang boleh bermain dan pemain yang dilihat mempunyai potensi untuk dibawa ke peringkat negeri untuk dijadikan sebagai pelapis.

“Bermula dari situ pula, sekiranya pemain berkenaan dilihat bagus maka, dia akan dipilih mewakili skuad Piala Presiden atau skuad utama Perlis,” katanya.

Shaharuddin berkata, dengan adanya struktur yang dimulakan dengan Liga Perlis, maka ketandusan pemain berbakat dari negeri itu akan dapat diatasi kerana pihaknya mempunyai pilihan pemain.

Beliau berkata, dalam pembangunan bola sepak akar umbi pula, Akademi Bola Sepak Perlis akan ditubuhkan dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) bermula tahun hadapan.

“Akademi ini yang turut mendapat kerjasama UiTM akan memberi kemudahan seperti penginapan, jurulatih serta tenaga pengajar bola sepak kepada kanak-kanak sekolah yag mengikuti akademi berkenaan.

“Pembangunan bola sepak kanak-kanak ini akan bermula di peringkat bangku sekolah dimana mereka akan bermain kejohanan atau pertandingan bola sepak berdasarkan had kelayakan usia mereka,” katanya.

Ditanya mengenai persiapan skuad Singa Utara menghadapi saingan Piala FAM musim hadapan, beliau berkata, PFA sudah bersepakat untuk menggunakan jurulatih tempatan yang berasal dari negeri itu.

“Selain itu juga, skuad kita kali ini juga akan dibarisi banyak muka baru iaitu anak jati negeri ini yang sama ada bermain di Perlis atau beraksi bersama pasukan lain.

“Malah, kita juga sudah menyenaraikan beberapa nama termasuk bekas pemain negeri ini untuk berkhidmat sebagai jurulatih bagi saingan Piala FAM nanti yang akan dimuktamadkan sebelum saingan bermula,” katanya.

Beliau turut menyentuh ketiadaan kewangan serta penajaan yang sering membelenggu pasukan berkenaan untuk beberapa musim sebelum ini.

“Kewangan sangat penting dalam pasukan ini dan sebenarnya kita sudah pun mempunyai jalan untuk mendapatkan sumber daripada pihak swasta yang tampil dan ada beberapa pihak swasta yang sudah pun menghubungi kita untuk menaja pasukan namun kita tidak bersetuju dengan terma serta syarat yang diletakkan oleh pihak swasta itu kepada kami.

“Diharapkan, akan banyak lagi pihak penaja yang dapat tampil untuk menaja pasukan ini dan sekiranya syarat yang diberikan oleh mereka dan kita dipersetujui, maka saya lihat masalah penajaan selepas itu tidak akan timbul,” katanya.

Sementara itu, hampir 60 orang penyokong serta wakil persatuan penyokong pasukan Singa Utara itu hadir bersama serta turut menyampaikan pendapat, luahan serta cadangan mereka kepada pucuk pimpinan PFA yang baru dilantik itu dalam sesi dialog yang diadakan hampir dua jam.

Turut hadir dalam sesi berkenaan adalah Naib Presiden PFA, Zailuddin Ariffin yang juga Rektir UiTM Perlis serta anggota exco yang lain.

Shaharuddin yang juga Ahli Parlimen Kangar dilantik sebagai Presiden PFA yang baru pada Kongres ke-24 PFA yang berlangsung pada 5 November lalu.

Beliau menggantikan tokoh korporat, Datuk Rozabil Abdul Rahman yang menerajui persatuan itu sejak 2013.

Perlantikan beliau berlaku tidak kurang sebulan selepas pasukan Perlis tersingkir ke Piala FAM musim hadapan selepas berada di tangga tercorot Liga Perdana 2017.

Untuk rekod, Perlis pernah memenangi saingan Piala Malaysia pada 2004 dan 2006 selain menjadi juara Liga Super pada 2005.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 10:15 PM