PEI Tty (kiri) mahu anak buahnya pamer kejutan.
PEI Tty (kiri) mahu anak buahnya pamer kejutan.
Ferzalfie Fauzi


BUKAN masanya untuk bermain baik tetapi cuba melakukan kejutan dan mencatat kemenangan.

Ketua jurulatih badminton beregu wanita negara, Wong Pei Tty menerapkan arahan itu untuk anak buahnya, Vivian Hoo-Woon Khe Wei menjelang Terbuka China (minggu ini) dan Hong Kong (21-26 November).

Menurut Pei Tty, sebelum ini anak buahnya tidak beraksi baik di Terbuka Denmark apabila kalah kepada Huag Dongping-Li Yinhui dari China di pusingan pertama.

“Saya rasa mereka berehat terlalu lama dan tidak mempunyai kejohanan sehingga menyebabkan aksi mereka sedikit berkarat namun selepas itu ketika di Terbuka Perancis, kedua-duanya dapat bermain baik walaupun tumpas kepada pasangan Jepun (Shiho Tanaka-Koharu Yonemoto),” katanya.

Vivian-Khe Wei tidak beraksi di mana-mana kejohanan selepas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos lalu berikutan kecederaan Vivian di bahagian otot perut.

VIVIAN (kiri) dan Khe Wei perlu menyerlah di Terbuka China dan Hong Kong.
VIVIAN (kiri) dan Khe Wei perlu menyerlah di Terbuka China dan Hong Kong.

“Bagi aksi di Denmark dan Perancis, kita jangan menilai dari segi menang atau kalah. Apa yang saya lihat mereka agak bergelut untuk menukar strategi ketika di gelanggang. Selain itu, mereka juga perlu menambahkan kekuatan dari segi pukulan.

“Saya juga merasakan apabila terlampau fokus kepada kecergasan, mereka akan berdepan masalah dari segi permainan. Secara tidak langsung, ia turut memberi kesan kepada pukulan berkualiti,” kata Pei Tty.

Ditanya mengapa Vivian-Khe Wei menarik diri daripada Terbuka Macau minggu lalu, bekas pemain beregu wanita negara itu berkata, beliau mengesan ada beberapa masalah yang memerlukan kedua-dua pemain itu sedikit masa untuk membuat persediaan bagi menghadapi Terbuka China dan Hong Kong.

Terbuka China yang bermula esok menyaksikan Vivian-Khe Wei akan berdepan pasangan Taiwan, Chiang Kai Hsin-Hung Shih Han di pusingan pertama.

Berdasarkan rekod, beregu wanita utama negara itu pernah menumpaskan Kai Hsin-Shih Han di Terbuka Switzerland, Mac lalu dalam pertemuan sulung mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2017 @ 5:57 PM