TUNKU Imran sahkan MOM akan lantik kepimpinan baharu pada AGM Jun 2018. -Foto fail
Farah Azharie dan Sukhairi Thani
sukanteam@nstp.com.my


MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) bakal mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada hujung Jun 2018 sekali gus menyaksikan perubahan tampuk kepimpinan dengan badan induk itu mahu meminda perlembagaan.

Presiden MOM, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar mengesahkan perkara itu selepas mempengerusikan mesyuarat eksekutif badan induk berkenaan di WISMA MOM, di sini hari ini yang turut menyaksikan 40 perkara dibincangkan.

“Apabila AGM berlangsung pada hujung Jun tahun depan dan kepimpinan baharu dilantik, kami akan cuba untuk meminda perlembagaan serta menyusun semula struktur badan induk ini untuk menjadi lebih baik.

“Antara yang akan kami lakukan adalah memberi pandangan dan sumbangan terhadap pelaksanaan pindaan akta sukan yang di bawah kendalian kerajaan,” kata Tunku Imran.

Tunku Imran turut mengaku MOM bakal berdepan tahun yang sibuk pada 2018 dengan empat temasya utama akan berlangsung iaitu Sukan Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang, Korea Selatan, Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, Sukan Asia di Jakarta-Palembang dan Sukan Olimpik Remaja di Buenos Aires, Argentina.

“Kami memberikan tumpuan kepada beberapa aspek penting dan teruja untuk menghadapi tahun 2018 yang bakal menjadi tahun sibuk buat MOM,” katanya.

Untuk Sukan Olimpik Musim Sejuk, Februari depan, MOM menamakan Datuk Seri Paduka Mumtaz Jaffar sebagai ketua kontinjen manakala Presiden Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM), Huang Ying How dilantik sebagai ketua kontinjen Sukan Komanwel.

Bekas Timbalan Presiden Persatuan Kriket Melayu Malaysia, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi akan mengetuai kontinjen negara ke Sukan Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2017 @ 11:43 PM