PANDELELA bersama Gabriel raih emas pada KL2017 lalu.
Jumiati Rosly
jumiati@bh.com.my


Kuala Lumpur: Pandelela Rinong pernah bergandingan dengan beberapa penerjun muda dan senior, namun ratu terjun negara itu tidak memilih pasangannya bagi merealisasikan hasrat kejayaan negara pada Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun hadapan.

“Saya rasa sesiapa juga yang bakal menjadi pasangan, saya harap dia dapat memberi persembahan konsisten. Selain itu dia mesti memberi kerjasama dengan baik,” katanya.

Bagaimanapun, penerjun berumur 24 tahun itu berkata dia menyerahkan kepada jurulatih untuk mengatur strategi untuknya bagi memastikan kejayaan negara terutama dalam tiga kejohanan utama tahun depan – Sukan Komanwel Gold Coast pada April, Sukan Asia Indonesia (Ogos) dan Piala Dunia Terjun (tarikh dan tempat belum diputuskan).

Selain sering digandingkan dengan atlet senior seperti Leong Mun Yee dan Cheong Jun Hoong, Pandelela juga pernah bergandingan dengan penerjun muda seperti Gabriel Gilbert Daim yang turut menyaksikan keputusan membanggakan dihasilkan.

Ditanya sama ada dia mempunyai gandingan kegemarannya, Pandelela berkata: “Saya tak ada penerjun kegemaran. Setakat ini semua pasangan saya rajin, bekerja keras dan masing-masing ada sasaran sendiri.

“Tak ada masalah curi tulang baik penerjun senior atau remaja.”

Penerjun dari Sarawak itu juga berkata atlet remaja kini semakin meningkat naik dan dia yakin merka boleh menggantikan penerjun senior jika sedia berusaha keras.

Mengenai kecederaan bahu dan belakangnya yang menghantuinya sebelum ini, Pandelela berkata dia kini boleh dikatakan bebas daripada sebarang kecederaan namun perlu mengekalkan kecergasan untuk memastikan kecederaan itu tidak berulang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2017 @ 2:41 AM