SOCK meraikan kejayaan selepas menewaskan Zverev.
SOCK meraikan kejayaan selepas menewaskan Zverev.
AFP

LONDON: Jack Sock menempah tiket ke separuh akhir Pusingan Akhir ATP apabila mengejutkan pilihan ketiga dari Jerman, Alexander Zverev 6-4, 1-6, 6-4 sementara pilihan utama Roger Federer menewaskan Marin Cilic awal pagi tadi.

Sock adalah pemain pertama Amerika Syarikat melangkah ke separuh akhir kejohanan penamat musim itu sejak Andy Roddick memenanginya pada 2007.

Pemain berusia 25 tahun itu berada di ranking kesembilan iaitu yang tertinggi sepanjang kariernya, hanya layak ke Pusingan Akhir Jelajah hasil kejayaan sulungnya pada Masters Paris, awal bulan ini.

Sock begitu pasti dia tidak akan bermain di Arena O2 apabila dia sudah merancang untuk bermain golf di Augusta hujung minggu ini.

Sock bagaimanapun bekerja keras untuk menundukkan Zverev, menduduki tempat kedua di belakang Federer dalam Kumpulan Boris Becker dan akan bertemu juara Kumpulan Pete Sampras, Grigor Dimitrov pada separuh akhir, esok.

“Permainan tadi macam ‘rollercoaster’. Saya tidak bermain dengan baik pada permulaan permainan ketiga tapi saya tetap memberi tentangan dan bertarung,” kata Sock.

Federer pula akan bertemu pemenang perlawanan antara pemain Belgium, David Goffin atau pemain Austria, Dominic Thiem yang akan bertemu awal pagi esok.

Terdahulu, Federer yang bertemu Cilic kali pertama selepas menewaskannya di Wimbledon empat bulan lalu, menewaskan lawannya itu 6-7 (5/7), 6-4, 6-1.

“Ia perlawanan yang sukar. Saya berdepan masalah di set pertama apabila kalah tie-break, tapi saya dapat mencari jalan untuk bangkit dan gembira bermain dengan cara sebegini,” kata Federer.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2017 @ 11:03 AM