WENGER yakin Arsenal mampu sekat kemaraan Spurs.
AFP

LONDON: Arsene Wenger memberi amaran kepada Tottenham Hotspur betapa Arsenal akan menggunakan pertembungan jiran tetangga malam esok sebagai medan untuk membuktikan mereka sebagai kelab paling berkuasa di utara London.

Selepas berdekad sentiasa mengatasi jirannya yang terletak di hujung Jalan Seven Sisters itu, Wenger mendapati dirinya berada dalam posisi tidak selesa apabila tampil selaku kelab kedua terbaik sejak tahun lalu.

Tottenham tiba di Emirates dengan kelebihan empat mata di depan Gunners dalam kempen Liga Perdana Inggeris dan masih lagi dibuai dengan kemenangan paling diingati ke atas juara Eropah, Real Madrid awal bulan ini.

Ketika skuad bimbingan Mauricio Pochettino meneruskan misi untuk menjuarai Liga Perdana dan Liga Juara-Juara, Arsenal berada dalam keadaan lebih sulit terutama selepas gagal menamatkan saingan liga musim lalu di kedudukan empat terbaik.

Ramai peminat Gunners sudah bosan dengan alasan yang diberikan Wenger selepas 13 tahun tanpa sebarang kejayaan dan kegagalan beraksi di pentas elit Eropah tampak sebagai penamat baginya.

Arsenal tidak pernah menewaskan Tottenham dalam aksi liga sejak 2014 tetapi di sebalik kekalahan kepada pendahulu Manchester City dalam perlawanan terakhir liga, Wenger berharap untuk menamatkan kekecewaan itu bermula dengan kejayaan ke atas Tottenham.

PEMAIN Arsenal susun strategi menghadapi Spurs.

Ketika ditanya sama ada Arsenal pasukan bukan pilihan bagi pertembungan itu, Wenger bagaimanapun berkata: “Tidak, tidak sama sekali.

“Saya fikir Tottenham pasukan yang bagus tapi kami mempunyai kualiti untuk menang perlawanan ini dan itulah yang ingin kami tunjukkan.

“Kesimpulan orang ramai pastinya perbandingan kedua-dua persembahan pada Sabtu ini. Kami memperoleh peluang yang baik untuk menunjukkan kami adalah pasukan lebih kuat, jadi ayuh lakukannya.

“Ia satu daripada perlawanan yang amat penting bagi kami dan kami mahukan kemenangan dan kami perlu melakukan sesuatu untuk kembali ke kelompok empat terbaik.

“Laman sendiri kekuatan kami dan jelas ia penting untuk menentukan di mana kami akan menamatkan saingan pada hujung musim.”

Begitupun, keinginan tinggi Wenger tidak banyak dibantu nasib apabila penyerang utamanya, Olivier Giroud dilanda kecederaan ketika rehat tugasan antarabangsa dan akan tersisih bagi aksi malam esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2017 @ 12:32 PM