Devinder Singh


HASRAT Datuk Nicol David (gambar) untuk merampas semula gelaran Terbuka Hong Kong lebur apabila tewas kepada pemain Perancis, Camille Serme di suku akhir kejohanan itu, sebentar tadi.

Pernah memenangi gelaran terbabit sebanyak 10 kali bermula 2006 hingga 2015, dia tersingkir selepas tumpas 11-9, 8-11, 11-9, 11-6 kepada pemain nombor tiga dunia itu.

Ia adalah kemenangan pertama Camille ke atas bekas jaguh nombor satu dunia itu sepanjang 19 pertemuan sejak lapan tahun lalu.

Kekalahan itu menyaksikan Nicol yang kini menghuni ranking keenam dunia, terus gagal memenangi sebarang gelaran dalam tujuh aksi terakhir Jelajah PSA sejak menjulang gelaran Ciudad de Floridablanca di Colombia, Mac lalu.

“Ia adalah perlawanan yang sukar. Dengan ia sentiasa menjadi sengit walaupun dia tidak lagi berada di ranking nombor satu dunia,” kata Camille, yang tewas kepada Nicol pada final edisi 2012.

“Dia masih seorang pemain yang hebat dan saya tahu ia pasti akan menjadi sukar. Saya banyak melancarkan serangan dan buatnya bekerja keras di hadapan gelanggang.”

“Ia sesuatu yang positif menewaskan Nicol buat kali pertama untuk saya berjaya mara ke separuh akhir.

Sementara itu, pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 Ng Eain Yow dan S Sivasangari mencerahkan peluang Malaysia mendominasi Terbuka Australia selepas masing-masing mara ke pentas akhir lelaki dan wanita di Darwin, sebentar tadi.

Eain Yow yang juga juara remaja dunia 2016, bangkit daripada kekalahan dua set pertama untuk mengetepikan cabaran pemain tuan rumah, Rex Hedrick 6-11, 7-11, 11-8, 11-8, 11-2.

Sivasangari pula meneruskan rentak kemenangan kepada 14 perlawanan dengan menumpaskan pemain Mesir, Nouran El Torky 11-5, 11-4, 11-6 di separuh akhir.

Pada aksi final, kedua-dua pemain Malaysia akan bertemu wakil Australia dengan Eain Yow menentang Joshua Larkin manakala Sivasangari melayan bekas juara dunia Rachael Grinham.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2017 @ 10:01 PM