GOFFIN menewaskan Thiem 6-4, 6-1 untuk mara ke separuh akhir tenis ATP Final. FOTO/AFP
AFP

LONDON: David Goffin menumbangkan rakan baiknya, Dominic Thiem 6-4, 6-1 untuk mara ke separuh akhir tenis ATP Final pagi tadi, namun bakal berdepan cabaran sukar apabila bertemu Roger Federer.

Pemain kelahiran Belgium yang tewas pada aksi ‘round-robin’ di tangan pendahulu kumpulan, Grigor Dimitrov itu gagal bermula dengan baik apabila tewas tiga mata pertama, sebelum bangkit untuk meraih kemenangan dalam tempoh 71 minit.

“Sukar untuk beraksi menentang Dominic kerana dia adalah rakan baik saya. Tidak mudah untuk bertemu rakan sendiri,” kata Goffin yang menewaskan pemain nombor satu dunia, Rafael Nadal pada perlawanan pembukaan.

“Saya menghabiskan banyak tenaga ketika menentang Rafael, jadi saya tidak bersedia ketika bertemu Grigor. Saya mendapat rehat secukupnya untuk aksi hari ini dan saya harap dapat melakukan perkara sama untuk aksi separuh akhir.”

Goffin yang juga adalah pilihan ketujuh itu mengakui Federer akan menjadi lawan yang begitu sukar untuknya, namun menegaskan dia ‘tidak rugi apa-apa.’

Goffin yang sudah menewaskan Thiem akan berjumpa Federer dalam aksi separuh akhir, Dimitrov serta Jack Sock sudah pun terlebih dahulu mara ke peringkat separuh akhir.

Terdahulu, aksi sebelah petang dalam Kumpulan Pete Sampras menyaksikan Dimitrov membenam Pablo Carreno Busta 6-1, 6-1.

Federer mengungguli Kumpulan Boris Becker dengan Sock di tangga kedua yang menyaksikan pemain Amerika Syarikat itu akan bertemu Dimitrov pada aksi separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2017 @ 2:40 PM