CONTE (kiri) berang dengan jadual padat yang diharungi Chelsea. -Foto REUTERS
AFP

WEST BROMWICH: Antonio Conte mengkritik perancang jadual liga bola sepak ketika pengendali Chelsea ini mempersiapkan skuad bimbingannya mengharungi jadual padat bulan ini, selepas menewaskan West Bromich Albion 4-0, malam tadi.

Biarpun melakar kemenangan di The Hawthorn, tetapi Conte sudah memberi amaran kepada barisan pemainnya mereka akan berdepan aksi terbesar musim ini di Azerbaijan menentang FK Qarabag , dalam saingan Liga Juara-Juara, awal pagi Khamis ini.

Kemenangan ke atas West Brom, termasuk dua gol menerusi Eden Hazard adalah yang pertama daripada sembilan perlawanan dalam tempoh sebulan buat The Blues.

Conte bimbang situasi sama berulang, yang menyaksikan anak buahnya tewas di tangan Manchester City pada September, tiga hari selepas aksi Liga Juara-Juara di Sepanyol.

“Ia agak malang apabila kami menentang City hanya dua hari selepas bermain menentang Atletico Madrid di tempat lawan,” katanya.

“Kami pulang jam 5 pagi pada Khamis dan bermain pada Sabtu menentang City. Orang yang membuat jadual ini seharusnya memberikan lebih perhatian bagi berlaku adil kepada semua pasukan.

“Saya fikir menentang City mereka adalah pasukan pilihan tetapi jika kami menang ke atas mereka jurang mata bukanlah sembilan mata.

“Kini, kami mempunyai satu lagi masalah. Kami menentang Qarabag pada Rabu (awal pagi Khamis) dan kami pulang ke London jam 5 pagi dan kami ada perlawanan besar menentang Liverpool pada Sabtu.

“Adakah ini normal? Saya tidak fikir begitu. Jika seseorang mahu keseimbangan dalam liga, mereka perlu memberi perhatian penuh dalam membuat jadual.”

Chelsea berkunjung ke Azerbaijan dengan misi untuk melakar kemenangan yang membolehkan mereka mara ke pusingan kalah mati walaupun tewas berturut-turut di tangan AS Roma.

Sementara itu, pengurus West Brom, Tony Pulis semakin tertekan bagi menyelamatkan kedudukannya selepas hanya meraih dua kemenangan daripada 21 perlawanan liga sejak musim lalu.

Bagaimanapun, pengendali dari Wales itu tidak bimbang dengan situasi berkenaan. “Ia bukan keputusan saya, kita tunggu dan lihat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2017 @ 1:07 PM