KANE (atas) mahu tamat kerjaya bersama Tottenham. -Foto AFP
Reuters

BERLIN: Penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane menegaskan dia mahu menamatkan kerjayanya bersama kelab London berkenaan, katanya kepada akhbar Jerman, Bild.

“Matlamat saya adalah untuk bermain sepanjang kerjaya saya bersama Tottenham,” kata Kane yang dilaporkan mendapat tawaran lumayan beberapa kelab gergasi Eropah, tetapi kontraknya bersama Spurs hanya akan tamat pada 2022.

“Buat masa sekarang, semuanya baik untuk saya di sini dan saya gembira. Kami mempunyai pasukan yang menakjubkan, jurulatih yang baik, pusat latihan profesional dan kami juga akan mempunyai stadium baharu.”

Kane yang dinobatkan sebagai pemenang anugerah kasut emas sejak dua musim terakhir sudah merekodkan lapan gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini yang menyaksikan Spurs kini di tangga keempat.

Spurs yang dibarisi bintang muda England seperti Kane, Dele Alli, Eric Dier, Danny Rose, Harry Winks dan Kieran Trippier dilihat mempunyai masa yang depan yang cerah untuk kelab dan negara.

Kane, 24, yang tiba di kelab itu sejak 11 tahun lalu pada 2004 turut menjaringkan lima gol dalam saingan Liga Juara-Juara dengan Spurs sudah pun layak ke pusingan kalah mati biarpun berbaki dua perlawanan peringkat kumpulan.

Spurs akan berkunjung ke Borussia Dortmund, awal pagi Rabu ini – untuk melengkapkan jadual kumpulan kerana kelab dari Jerman itu sudah tidak layak ke pusingan seterusnya, tanpa mengambil kira keputusan perlawanan akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2017 @ 11:47 AM