CABRERA (kanan) turut digugurkan seperti Guerra. -Foto fail
GUERRA (kiri) dilepaskan JDT selepas beraksi selama semusim. -Foto fail
Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my


JUARA Liga Super empat kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) membuat kejutan apabila menggugurkan dua pemain import mereka, Gonzalo Cabrera dan Gabriel Guerra yang baru sahaja menyertai skuad Harimau Selatan itu pada musim 2017.

Perkembangan itu diumumkan Pengarah Sukan JDT, Martin Prest menerusi laman rasmi Johor Southern Tigers, sebentar tadi sekaligus menyaksikan ‘jodoh’ dua pemain kelahiran Argentina itu dengan pasukan terbabit hanya dapat bertahan selama semusim.

“Kami ingin mengucapkan setinggi terima kasih kepada Gonzalo Cabrera dan Gabriel Guerra. Pintu JDT sentiasa terbuka untuk kedua-dua pemain ini dan kami yakin mereka akan menjadi sebahagian dari kelab ini pada masa akan datang.

“Mereka berdua sangat profesional di dalam dan di luar padang dan kami beruntung mempunyai kedua-dua pemain ini yang menjadi sebahagian daripada projek JDT.

“Terima kasih dan tahniah juga diucapkan dalam membantu JDT memenangi kejuaraan Liga Super dan Piala Malaysia baru-baru ini. Syabas dan selamat maju jaya kepada Gonzalo Cabrera dan Gabriel Guerra,” kata Prest dalam satu kenyataan di laman rasmi pasukan terbabit.


GUERRA (kiri) dilepaskan JDT selepas beraksi selama semusim. -Foto fail

Guerra yang menyertai JDT daripada PKNS FC sementara Cabrera yang juga bekas pemain Boca Juniors menjadi antara tonggak buat pasukan bimbingan Ulisses Morais pada musim ini dengan membantu JDT meraih kejayaan berganda pada musim ini dengan menggondol kejuaraan Liga Super serta Piala Malaysia.

Dua pemain terbabit berjaya memperagakan aksi memberangsangkan dengan Guerra yang beraksi dalam 37 perlawanan musim ini berjaya meledak 20 gol dan melakukan 13 hantaran gol buat pasukan terbabit sementara Cabrera yang beraksi dalam 35 perlawanan menjaringkan 19 gol dan melakukan lima hantaran gol sepanjang musim ini.

Pengguguran dua pemain import ini diumumkan selepas JDT berjaya mengikat kembali bekas penggempur mereka, Luciano Figueroa yang keluar daripada persaraan untuk kembali beraksi pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan.

Malah bukan sahaja Figueroa, JDT turut memanggil kembali penjaring terbanyak Liga Super musim lalu, Jorge Pereyra Diaz untuk menyertai mereka bagi mengharungi musim baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2017 @ 4:12 PM