ARIYA tamat saingan dengan melakukan birdie berturut-turut.
AFP

MIAMI, Amerika Syarikat: Pemain Thailand, Ariya Jutanugarn menamatkan saingan dengan birdie berturut-turut untuk memenangi kejohanan penamat musim Kejuaraan Jelajah LPGA awal pagi tadi manakala pemain Amerika Syarikat, Lexi Thompson meraih hadiah bonus AS$1 juta (RM4.2 juta) di sebalik kekecewaan di lubang terakhir.

Ariya birdie empat daripada enam lubang terakhir, membenam putt birdie dari jarak 20 kaki di lubang ke-17 dan 23 kaki pada lubang ke-18, untuk mencatat lima bawah par 67 pada pusingan akhir dan mengumpul 15 bawah par keseluruhan di Tiburon Golf Club di Florida.

“Kedi saya memberitahu untuk melihat kepada senarai pendahulu jadi saya lihat dan ‘oh saya perlu melakukan putt ini,” kata Ariya mengenai penamat dramatiknya.

“Saya terlalu gementar, tangan saya bergetar dan saya mula menangis apabila bola masuk.”

Lexi dan rakan senegaranya Jessica Korda berkongsi tangga kedua, hanya satu pukulan di belakang manakala pemain Sweden, Pernilla Lindberg dan Ji Eun Hee dari Korea Selatan berkongsi tangga keempat satu pukulan lagi di belakang.

Lexi dilihat akan merangkul kejuaraan, memerlukan tolakan dari jarak dua kaki untuk par pada lubang ke-18 sekali gus tiba ke rumah kelab dengan keputusan yang mampu memberikannya kejuaraan.

Namun pemain nombor empat dunia itu terlepas, bola berlegar di permukaan lubang ketika dia berpuas hati dengan hadiah bonus musim Race to the Globe.

“Saya agak tertekan terlepas putt itu kerana saya tidak memandang ke arah kelompok pendahulu sepanjang hari,” kata Lexi.

Ariya kemudian menjadi pendahulu bersama di green kedua terakhir, kemudian mengatasinya dengan birdie keempat sepanjang hari di lubang terakhir bagi memastikan kejuaraan.

Ia kejuaraan ketujuh karier LPGA buat juara Terbuka British 2016 itu dan kedua tahun ini selepas Klasik Manulife, Jun lalu.

Dia bercadang membawa pulang ke Thailand hadiah kemenangan AS$500,000 (RM2.07 juta) dan menyambut hari jadi ke-22 Khamis ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2017 @ 11:28 PM