GRIEZMANN (tengah) tolak dakwaan cari jalan keluar pada perpindahan Januari. -Foto fail
Reuters

MADRID: Penyerang Atletico Madrid dari Perancis, Antoine Griezmann tidak menyesal kekal di kelab La Liga itu walaupun berdepan permulaan musim yang sukar hingga menyaksikannya diejek penyokong sendiri.

Penyerang berusia 26 tahun itu dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United pada perpindahan terakhir tetapi menandatangani perjanjian baharu bersama Atletico selepas kelab itu dilarang membeli pemain baharu hingga Januari kerana melanggar peraturan perpindahan.

Pemain Perancis itu mengalami kempen permulaan musim paling buruk setakat ini bersama Atletico, yang kini berkedudukan keempat dan 10 mata di belakang pendahulu Barcelona selain hampir terkeluar paling awal daripada Liga Juara-Juara sejak 2009.

Skuad kendalian Diego Simeone, pasukan yang layak ke final pada 2014 dan 2016 serta ke separuh akhir musim lalu, berdepan AS Roma awal pagi Khamis ini dan nasib mereka untuk layak ke kelompok 16 pasukan terakhir kini hanya bergantung pada diri sendiri.

“Saya tidak menyesal kekal di sini, ia adalah pilihan saya dan saya akan melakukannya lagi jika tewas tujuh perlawanan berturut-turut,” kata Griezmann ketika temubual dengan televisyen Perancis dalam program Telefoot, disiarkan semalam.

Griezmann meledak tiga kali dalam empat perlawanan pada September tetapi kini melalui lapan perlawanan tanpa gol buat Atletico dan dikeluarkan dalam dua perlawanan terakhir ketika perlawanan terikat tanpa jaringan.

Dia diejek kerana persembahan buruk berdepan Real Madrid pada Sabtu dengan penyokong juga tampak mencari isu mengenai komen dibuat Griezmann kepada media Perancis apabila dia berkata satu hari nanti dia mahu bermain bersama bintang Paris St Germain, Kylian Mbappe dan Neymar.

Walaupun berdepan masalah, Griezmann semalam menolak dakwaan dia mahu segera mencari jalan keluar pada perpindahan Januari.

“Tidak, kerana Diego Costa dan Vitolo akan kembali jadi kami perlu bertarung untuk memastikan pasukan akan menamatkan saingan di tempat terbaik. Saya masih belum bercakap dengan presiden (Enrique Cerezo) mengenai hasrat untuk berhijrah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2017 @ 11:25 AM