THANABALAN (kanan) akui teruja beraksi bersama pemain junior. -Foto fail
Firdaus Hashim


PENYERANG skuad bawah 22 tahun negara (B-22), N Thanabalan menganggap kehadiran beberapa tonggak utama daripada skuad B-19 tidak akan menggugat tempatnya apabila mengakui bersedia bersaing secara sihat menjelang Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di China, Januari ini.

Jelas ayam tambatan FELCRA FC itu, prestasi cemerlang pasukan B-19 yang turut layak secara merit ke pusingan akhir AFC B-19 di Indonesia tahun depan amat membanggakan dan dia juga teruja untuk bergandingan bersama pemain junior itu.

“Saya tak anggap mereka (pemain B-19) sebagai halangan, tetapi saya menjadikannya sebagai motivasi untuk meningkatkan persembahan saya.

“Bagi saya, kehadiran mereka boleh memantapkan cabaran pasukan lebih-lebih lagi apabila kita bertanding dengan pasukan dari Arab,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, pengendali pasukan B-23, Datuk Ong Kim Swee membayangkan untuk menyenaraikan beberapa pemain utama daripada skuad kendalian Bojan Hodak yang memperagakan aksi cemerlang sepanjang pusingan kelayakan Kumpulan F di Paju, Korea Selatan awal bulan ini.

Antara pemain yang dijangka menjadi pilihan Kim Swee ialah penjaring terbanyak skuad B-19, Muhammad Hadi Fayyadh, pemain tengah dari Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat dan tonggak lincah Kedah, Muhammad Akhyar Abdul Rashid.

Bagaimanapun Akhyar sudah beraksi dengan skuad B-22 pada pusingan kelayakan AFC di Bangkok Julai lalu dan Sukan SEA Kuala Lumpur pada Ogos.

“Mana-mana pemain yang bagus sudah tentu akan menjadi pilihan jurulatih. Jadi, saya juga harus pertingkatkan diri dan cuba memastikan tempat dalam kesebelasan utama,” katanya yang membantu pasukan B-22 meraih pingat perak di Sukan SEA Kuala Lumpur.

Laluan Malaysia di China nanti cukup berliku apabila diundi menentang tiga pasukan handalan dari Asia Barat dalam Kumpulan C yang terdiri daripada Iraq, Arab Saudi dan Jordan.

Anak buah Kim Swee akan membuka kempen di Changsu bertemu Iraq pada 10 Januari diikuti Jordan (13 Januari) dan Arab Saudi (16 Januari).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2017 @ 3:22 PM