RONALDO (kanan) jaring gol keduanya ketika menentang APOEL. -Foto AFP
AFP

NICOSIA: Cristiano Ronaldo dan Karim Benzema masing-masing meledak dua gol untuk membantu penyandang juara, Real Madrid membelasah APOEL 6-0 sekali gus mengesahkan tempat ke pusingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara.

Luka Modric memberikan gol pendahuluan buat juara Eropah itu pada minit ke-23 sebelum Real memulakan pesta jaringan ke atas juara Cyprus dengan lima gol dalam tempoh 15 minit.

“Hari yang baik untuk kami,” kata pengurus Los Blancos, Zinedine Zidane.

“Kami berada pada landasan yang betul. Kami beraksi dengan baik berbanding perlawanan sebelum ini. Ia bukan aksi yang mudah tetapi adalah satu persembahan yang sempurna.

“Semua gol itu adalah penting apatah lagi kepada Ronaldo dan juga Benzema.”


BENZEMA (tengah) jaring dua gol bantu Real benam APOEL. -Foto EPA

Namun, Real Madrid berdepan kemungkinan untuk bertemu Manchester City di pusingan seterusnya susulan kemenangan Tottenham Hotspur ke atas Dortmund memastikan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu menamatkan saingan sebagai pendahulu Kumpulan H.

“Siapa sahaja yang akan kami temui nanti, sudah pasti mereka adalah pasukan yang bagus.

“Kami perlu berdepan pasukan yang menjadi juara kumpulan jadi sudah tentu ia adalah aksi yang sungguh mencabar.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2017 @ 12:19 PM