SKUAD bola tampar wanita ketika beraksi di Sukan SEA 2017.
Azlan Muhammad Zain


DATUK Benny Hoe berharap pemilihannya sebagai Presiden Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) yang baharu mampu membawa sukan itu kembali ke landasan yang tepat.

Skuad bola tampar negara gagal meraih sebarang pingat pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) Ogos lalu sekali gus memanjangkan lagi kemarau sejak kali terakhir skuad lelaki meraih perak pada 2001 manakala skuad wanita menaiki podium pada 1983 apabila meraih gangsa.

“Sudah lama bola tampar merosot. Jadi, sasaran jangka pendek saya mahu memastikan skuad kita sekurang-kurangnya meraih pingat pada Sukan SEA 2019 di Filipina. Ia perlu dicapai sebagai langkah pertama,” katanya yang dipilih sebagai presiden MAVA yang baharu menggantikan Dr Gregory Hii, minggu lalu.

Tambahnya, beberapa aspek perlu diperkukuhkan termasuk mewujudkan pelan utama bagi sukan ini dari peringkat sekolah hingga kebangsaan.

“Kami sedang melihat bantuan tenaga luar negara dalam aspek ini. Pada masa sama, kami perlu memastikan saingan liga peringkat kebangsaan dapat diwujudkan menjelang Mac tahun depan selain kejohanan peringkat umur,” katanya.

Terdahulu beliau hadir menyaksikan undian Kejohanan Bola Tampar Malaysia-Milo Bawah 16 (B-16) membabitkan 20 pasukan, manakala B-14 berjaya menarik penyertaan 16 pasukan.

“Saya rasa bangga kerana sambutan kali ini hangat. Tiada pernah berlaku dalam sejarah, begitu banyak pasukan yang tampil dan sudah pasti memberikan impak positif kepada kejohanan.

“Saya akan memastikan selepas kejohanan berakhir, mereka yang terpilih akan menyertai kem latihan berpusat bagi memastikan bakat dan prestasi mereka dapat dikembangkan. Langkah ini akan diteruskan pada peringkat umur yang lain,” tambahnya.

Kejohanan B-14 akan berlangsung di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai dari 2 hingga 5 Disember ini manakala B-16 akan berlangsung di Cyberjaya dari 11 hingga 15 Disember.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 10:17 PM