MESUT OZIL. -Foto AFP
AFP

LONDON: Arsene Wenger percaya kebangkitan semula Mesut Ozil adalah kerana kerja keras perancang Arsenal itu meningkatkan tahap kecergasannya.

Ozil mempamer aksi memukau pada pertemuan musuh setempat utara London yang menyaksikan mereka mengatasi Tottenham Hotspur dan sekali lagi menjadi watak penting apabila anak buah Wenger mahu mengekalkan momentum kemenangan itu dengan berkunjung ke Burnley, malam esok.

Pemain kebangsaan Jerman itu yang tamat kontraknya tahun ini dan mungkin berpindah ke kelab lain Januari depan, menerima kritikan hebat pada awal musim.

Bagaimanapun prestasi semasanya menunjukkan kualiti sebenar yang ada padanya dan Wenger memuji kesungguhan Ozil ketika sesi latihan.

“Ozil bekerja keras dan dia kini cergas sepenuhnya. Sebab itu anda dapat lihat dia cukup tajam.

“Kualiti aspek teknikal yang ada padanya tidak pernah tumpul dan dia menunjukkan kesungguhan lebih tinggi dan itulah yang kami mahukan daripadanya,” katanya.

Wenger menegaskan: “Bola sepak kini menuntut aspek mental serta fizikal yang tinggi dan Ozil nampak lebih cergas dari segi fizikal berbanding sebelum ini.

“Setiap pemain mahu menjadi bintang dan apabila gagal melakukannya mereka akan berasa kecewa tapi cara terbaik untuk kembali mencapainya adalah dengan bekerja keras dan menunjukkan kualiti yang orang ramai mahukan daripada anda.”

Kemenangan minggu lalu menyaksikan Arsenal menduduki tangga keenam liga, satu mata ketinggalan di belakang Tottenham yang menduduki tempat keempat dan hanya dibezakan dengan perbezaan gol berbanding Burnley di tangga ketujuh.

Wenger kagum dengan aksi cemerlang skuad kendalian Sean Dyche musim ini dan sedar rintangan yang akan dilalui mereka.

“Mereka kelab yang mengejutkan. Sebab sebelum bermulanya saingan jika anda bertanya kepada 100 orang adakah Burnley mampu memungut 22 mata setakat ini, 90 daripada pasti menyatakan tidak manakala 10 lagi mungkin peminat setia kelab itu.

“Mereka memenangi perlawanan dengan 25 atau 30 peratus penguasaan permainan. Ini bermakna mereka cukup bersabar dan tahu apa yang perlu dilakukan.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2017 @ 3:36 PM