RONALDO (kanan) jaring gol melalui bola muntah sepakan penalti diambilnya.
AFP

MADRID: Cristiano Ronaldo meledak gol pertama dalam saingan La Liga selepas sebulan untuk memastikan Real Madrid merapatkan jurang dengan pendahulu liga, Barcelona kepada tujuh mata selepas menewaskan Malaga 3-2 awal pagi tadi.

Ronaldo jelas dilihat lega menjadi penyumbang gol selepas menyaksikan sepakan penalti yang diambilnya dinafikan penjaga gol lawan, Roberto, 15 minit sebelum tamat.

Atletico Madrid kekal berkongsi mata dengan Real di kedudukan ketiga selepas membelasah Levante 5-0 berikutan dua gol masing-masing disumbang oleh Antoine Griezmann and Kevin Gameiro.

“Kami gembira dengan keputusan ini kerana pasukan menunjukkan karakter sebenar ketika hujung permainan untuk mencari gol ketiga.

“Banyak perkara positif dalam perlawanan ini, tapi ada juga yang tidak sepatutnya berlaku,” kata pengurus Real, Zinadine Zidane.

Real dilihat bangkit daripada beberapa keputusan hambar sebelum ini dan mereka memperoleh gol pertama menerusi Karim Benzema yang menyempurnakan bola muntah tandukan Ronaldo selepas sembilan minit.


RONALDO (kiri) ketika mengambil sepakan penalti.

Bagaimanapun, kecuaian Toni Kroos melorongkan bola di tepi kawasan kotak penalti menyaksikan Malaga berjaya menyamakan kedudukan menerusi Diego Rolan yang menyambar hantaran lintang Keko pada minit ke-18.

“Kami sebenarnya mampu beraksi dengan lebih baik tapi kami juga terlalu banyak memberikan penguasaan bola kepada lawan.

“Apa-apa pun ia tetap keputusan yang positif dan kami meraih tiga mata penuh,” kata Zidane.

Bagaimanapun gol penyamaan itu hanya bertahan tiga minit selepas Casemiro kembali meletakkan Real di depan minit ke-21.

Malaga menyamakan kedudukan semula sebelum sejam berikutan kesilapan penjaga gol Kiko Casilla yang membenarkan rembatan jarak jauh Chory Castro melepasi jangkauannya.

Namun Real terselamat apabila mereka akhirnya menerima sepakan penalti pertama dalam La Liga musim ini apabila Luka Modric dijatuhkan dan Ronaldo mengatasi Roberto dengan merembat masuk bola muntah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2017 @ 1:11 PM