NEYMAR menyempurnakannya sendiri penalti.
AFP

Paris: Edinson Cavani dan Neymar masing-masing meledak gol ketika Paris Saint-Germain (PSG) menewaskan Monaco 2-1 awal pagi tadi untuk melebarkan kedudukan di tangga teratas Ligue 1 dengan kelebihan sembilan mata.

Bagaimanapun ia adalah perlawanan yang cukup mengewakan untuk pemain termuda paling mahal di dunia, Kylian Mbappe yang terlepas banyak peluang untuk menghasilkan gol.

PSG kini mengumpul 38 mata daripada 14 perlawanan dan belum pernah tewas, lebih sembilan mata berbanding Lyon dan Monaco.

“Ia adalah keputusan yang bagus. Kini kami perlu terus bekerja keras dan menjadi lebih baik,” kata jurulatih PSG, Unai Emery.

Cavani menjaringkan gol pembukaan yang juga ke-16 peribadi dalam saingan liga musim ini selepas menerima hantaran Julian Draxler pada minit ke-19.


CAVANI (tengah) menjaringkan gol untuk PSG.

Neymar kemudian dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh Almamy Toure sebelum dia menyempurnakannya sendiri pada minit ke-52 dengan menewaskan penjaga gol Monaco, Danijel Subasic.

Monaco mungkin kehilangan beberapa tonggak utama tetapi anak buah Leonardo Jardim tidak mudah menyerah kalah.

Radamel Falcao yang setakat ini meledak 13 gol pada saingan liga, hampir merapatkan jurang tetapi beberapa percubaannya gagal disempurnakan dengan baik.

Pemain tengah veteran Portugal, Joao Moutinho akhirnya merapatkan jurang menerusi sepakan percuma sembilan minit sebelum tamat perlawanan tetapi pasukannya gagal mencari gol penyamaan.

“Amat sukar bertemu dengan lawan yang sangat berkualiti,” kata pemain tengah Monaco, Fabinho.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2017 @ 12:12 PM