VAN Huizen (kanan) anggap bertuah kerana Malaysian Tigers tidak disenaraikan dalam Kumpulan A.
Saiful Affendy Sapran


KETUA jurulatih skuad hoki lelaki negara Stephen Van Huizen tetap menganggap barisan pemainnya tidak akan berdepan cabaran mudah meskipun dilihat memperoleh undian selesa pada temasya Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia tahun depan.

Menerusi majlis undian yang berlangsung hari ini, Malaysian Tigers diletakkan dalam Kumpulan B bersama-sama juara Asia, India; England, Pakistan dan Wales.

Mereka bernasib baik tidak diundi dalam Kumpulan A yang disertai juara bertahan dan pasukan ranking kedua dunia, Australia; New Zealand, Kanada, Afrika Selatan serta Scotland.

Bagi Van Huizen, walaupun tidak diundi bersama Australia dan New Zealand, saingan dalam Kumpulan B juga cukup mencabar.


VAN Huizen (dua dari kiri) ketika mengendalikan latihan skuad hoki di Stadium Hoki Tun Razak. FOTO/LUQMAN HAKIM ZUBIR

“India pastinya pasukan yang cukup sukar untuk ditemui manakala England kita tidak mempunyai rekod pertemuan yang baik dengan mereka sejak kebelakangan ini.

“Pakistan pula walaupun berada di ranking lebih rendah berbanding pasukan negara, mereka sentiasa mampu memberi cabaran sengit.

“Untuk Wales pula, kami tidak boleh memandang rendah keupayaan lawan,” katanya.

Van Huizen bagaimanapun berkata, skuad negara tetap mempunyai peluang untuk mara ke separuh akhir.

“Tapi untuk sampai ke tahap itu, kami perlu menewaskan pasukan yang lebih baik,” katanya.

Pencapaian terbaik skuad lelaki pada temasya sukan kedua terbesar dunia itu adalah meraih pingat perak pada edisi 1998 di Kuala Lumpur dan gangsa tahun 2006 di Melbourne, Australia.

Sementara itu, skuad wanita negara pula berdepan cabaran cukup sukar apabila diundi dalam Kumpulan A bersama-sama pasukan ranking kedua dunia, England; juara Asia, India; Afrika Selatan dan Wales.

Kumpulan B pula membabitkan juara bertahan, Australia; New Zealand, Scotland, Kanada dan Ghana.


VAN Huizen (tengah) mahu pemain fokus setiap perlawanan dalam Kumpuna B.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 2:03 PM