CECH optimis mampu mencabar kejuaraan EPL.
AFP

LONDON: Petr Cech percaya Arsenal masih berpeluang untuk merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris meskipun ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City menjelang pertemuan dengan Huddersfield, awal pagi Khamis ini.

Kemenangan mungkin akan mengurangkan jurang dengan City, tetapi Cech yang meraih empat kejuaraan liga bersama Chelsea, melihat daripada sudut jangka masa panjang.

“Anda perlu menghadapi setiap perlawanan dan tidak memikirkan mengenai apa yang berlaku di sekeliling anda. Sebab jika anda memenangi perlawanan, ia terus membuka lebih banyak peluang,” penjaga gol Arsenal itu.

“Kami perlu menenangi perlawanan ini dan kemudian melihat keputusan pasukan lain. Jika mereka lebih baik daripada kami dan terus mencatatkan kemenangan, maka sukar untuk kami mengejar mereka.


CECH (kiri) mahu rakan sepasukan fokus setiap perlawanan.

“Pertama sekali anda perlu membantu pasukan memenangi perlawanan sebelum memberi tekanan kepada pasukan lain.”

Walaupun City sudah jauh meninggalkan pasukan lain, Cech percaya masih ada ruang untuk mengubah situasi itu.

“Saingan liga baru berlangsung 13 perlawanan. Ini yang penting dan banyak lagi mata yang boleh dikutip. Anda perlu mengharungi 38 perlawanan dan menunjukkan aksi konsisten.

“Saya percaya saingan selepas ini akan berlangsung sengit sehingga ke hujung musim,” katanya.

Arsenal menyertai kelompok empat teratas ligaselepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Burnley, Ahad lalu.


CECH (kiri) yakin jadi benteng terkuat Gunners.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 2:21 PM